Indonesia laksanakan hukuman mati

Indonesia laksanakan hukuman mati

CILACAP, Indonesia, 29 Julai – Indonesia telah menghukum mati empat orang yang disabitkan dengan jenayah dadah hari ini di sebalik bantahan antarabangsa dan mengatakan ia akan membuat keputusan kemudian tentang bila seramai-ramainya 10 orang lagi yang mendapat penangguhan hukuman akan menjalani hukuman mati.

Seorang warga Indonesia dan tiga warga Nigeria telah dihukum dengan skuad tembak tidak lama selepas tengah malam waktu tempatan ketika hujan lebat melanda pulau penjara Nusa Kambangan tempat banduan-banduan yang menanti hukuman mati ditahan.

Kerajaan mengatakan awal minggu ini bahawa 14 orang sedang menanti hukuman mati, kebanyakannya warga asing, akan dihukum mati kerana jenayah dadah. Mereka yang dijatuhi hukuman mati adalah Freddy Budiman, warga Indonesia, dan Sek Osmane, Michael Titus dan Humphrey Jefferson, kesemuanya warga Nigeria.

Anggota-anggota keluarga, kumpulan hak asasi dan kerajaan-kerajaan asing telah menggesa Indonesia supaya tidak menghukum mati kesemua mereka itu tetapi tidak jelas sama ada wujud sebarang pengaruh ke atas keputusan untuk tidak melaksanakan semua penghukuman mati sekali gus. Para peguam dan kumpulan hak asasi telah membangkitkan keraguan serius tentang kesahan penyabitan Jefferson, yang telah dipenjara lebih sedekad dan juga penyabitan wanita warga Indonesia Merri Utami dan lelaki warga Pakistan, Zulfikar Ali.

Ahli keluarga dan rakan-rakan mengebumikan mayat seorang pesalah dadah Freddy Budiman yang te-lah dihukum mati kelmarin. - AFP
Ahli keluarga dan rakan-rakan mengebumikan mayat seorang pesalah dadah Freddy Budiman yang te-lah dihukum mati kelmarin. – AFP

Ricky Gunawan, peguam dari Institusi Bantuan Undang-Undang Masyarakat yang mewakili Jefferson dan Utami, berkata pengendalian proses yang tidak dapat dijangkakan oleh kerajaan adalah ‘sama seperti penyeksaan.” Dia tidak dapat bercakap dengan Utami sejak empat penghukuman mati telah diumumkan dan juga tidak bercakap dengan penasihat agamanya yang dilantik, iaitu paderi Katolik.

“Dia telah ditempatkan dalam sel pengasingan selama tiga hari dan pada hari terakhir dia bertemu dengan anggota keluarga bagi perpisahan yang sangat menyedihkan,” katanya. “Kemudian dia tidak dihukum mati.”

Ini adalah set ketiga penghukuman mati di bawah Presiden Joko ‘Jokowi” Widodo yang dilantik pada tahun 2014 dan berkempen dengan janji akan meningkatkan hak kemanusiaan di Indonesia. – AP