Indonesia mahu contohi undang-undang anti keganasan Malaysia

Indonesia mahu contohi undang-undang anti keganasan Malaysia

JAKARTA, 22 Jan (Bernama) – Kerajaan Indonesia mahu mencontohi undang-undang anti keganasan di Malaysia yang memberi kuasa kepada polis untuk membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan.

Menteri Koordinator bidang Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Binsar Pandjaitan berkata konsep undang-undang seperti di Malaysia itu didapati berkesan dalam membanteras kegiatan keganasan di peringkat awal lagi dan kerajaan Indoensia akan membuat pindaan undang-undang berkaitan anti keganasan di negara itu.

Akhbar-akhbar tempatan hari ini memetik Luhut sebagai berkata usul mencontohi undang-undang Malaysia itu akan dibawa dalam cadangan pindaan Undang-undang Tindak Pidana Pemberantasan Terorisme (Antiteror) dalam masa terdekat.

“Kita melihat Malaysia punya akta keselamatan untuk keamanan dalam negeri. Kira-kira bentuknya seperti itu (dalam usul pindaan undang-undang Antiteror),” katanya.

Beliau berkata kerajaan berharap perbahasan kajian pindaan Undang-undang itu tidak berlarutan dan setakat ini pihak kepimpinan negara telah bersetuju bahawa Undang-Undang Terorisme perlu dipinda.

Luhut berkata kerajaan Indonesia mahu polis memiliki kuasa melakukan penangkapan sementara untuk mendapatkan keterangan daripada mereka yang disyaki sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya sesuatu serangan yang telah dirancang oleh pengganas.

Katanya tempoh tahanan untuk siasatan selama seminggu atau dua minggu sebenarnya boleh membantu pihak berkuasa menjalankan operasi pembanterasan secara lebih berkesan.

Beliau berkata proses untuk pindaan Undang-undang Terorisme masih panjang dan kerajaan negara itu perlu mempertimbangkan beberapa perkara seperti bagaimana agar penangkapan sementara tidak melanggar hak asasi manusia dan apakah kriteria seseorang itu boleh ditahan untuk siasatan.

Khamis lepas, Indonesia dikejutkan dengan serangan bom dan senjata api oleh empat lelaki yang tidak dikenali di Gedung Cakrawala di pusat bandar Jakarta di sini.

Kumpulan pengganas terbabit memulakan serangan di Restoran Starbucks di Gedung Cakrawala, Jalan MH Thamrin di sini dengan melemparkan bom dan melepaskan tembakan ke arah polis sebelum ditembak mati oleh pasukan polis.

Dalam serangan itu lapan orang maut termasuk empat lelaki yang disyaki pengganas dan polis percaya ia adalah perbuatan kumpulan militan Daesh.

ARTIKEL YANG SAMA