Indonesia mahu program serah siri dilanjutkan

Indonesia mahu program serah siri dilanjutkan

SEPANG, 10 Dis – Indonesia mahu Program Serah Diri Secara Sukarela 3+1 untuk pulang ke negara asal yang akan tamat pada 31 Disember ini dilanjutkan.

Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata program yang dilaksanakan sejak Januari tahun ini mendapat sambutan apabila pekerja asing tanpa izin (PATI) yang menyerah diri secara sukarela akan dikenakan bayaran kompaun RM300 dan RM100 untuk pas khas pulang ke negara asal.

“Sehingga kini, 80,444 (PATI) Indonesia memanfaatkan tawaran itu,” katanya kepada wartawan pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menyaksikan kumpulan warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal menerusi penerbangan khas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2).

Hermono berkata kerajaan Indonesia berhasat untuk mengurangkan tenaga kerja Indonesia ‘undocumented’ di seluruh dunia dan dijangkakan 20,000 hingga 50,000 tenaga kerja seperti itu dari seluruh dunia akan dihantar pulang pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen M. Saravana Kumar berkata pihaknya masih menunggu keputusan dari Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk melanjutkan program tersebut.

“Buat masa ini, belum (mendapat kelulusan) lagi. Maka, pesanan kita kepada mereka (PATI) agar menggunakan tempoh ini sebelum 31 Disember untuk pulang ke negara asal secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Saravana berkata seramai 1,500 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal hari ini menerusi lima penerbangan khas iaitu dua dari klia2 dan Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang dan satu penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

Beliau berkata mereka yang dihantar pulang ini sebelum ini ditempatkan di depoh tahanan Langkap, Perak; Tanah Merah, Kelantan; Ajil, Terengganu; Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Semenyih, Selangor; Belantik dan Juru di Pulau Pinang serta Pekan Nanas, Johor.

Beliau berkata penghantaran pulang ini merupakan yang kedua dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia dengan kos penghantaran ditanggung sepenuhnya kerajaan Indonesia.

“Mereka yang dihantar pulang ini ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Imigresen dan juga mereka yang terlibat kes-kes jenayah kecil. Program ini dapat mengurangkan kesesakan di depoh tahanan Imigresen di seluruh negara. Adalah diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka yang dihantar pulang akan disenaraihitamkan memasuki Malaysia satu hingga lima tahun bergantung kepada kesalahan dilakukan.

Sehingga 9 Dis tahun ini, Saravana berkata seramai 27,000 warga Indonesia yang ditempatkan di depoh tahanan seluruh negara dihantar pulang ke negara asal. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA