Indonesia mahu tukar nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna

Indonesia mahu tukar nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna

JAKARTA, 24 Ogos – Indonesia bercadang menukarkan nama Laut China Selatan kepada Laut Natuna sebagai satu usaha mengiktiraf kawasan perairan itu milik republik tersebut.

Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Luhut Binsar Panjaitan baru-baru ini dipetik oleh media tempatan sebagai berkata cadangan mengubah nama Laut China Selatan itu dianggap tepat kerana wilayah perairan tersebut memang berada di sekitar Kepulauan Natuna.

Luhut berkata pada masa ini kerajaan Indonesia masih mengkaji cadangan perubahan nama itu dan ia bertujuan untuk memperkukuhkan hak republik berkenaan ke atas perairan yang kerap diceroboh kapal dan pesawat negara asing.

Katanya cadangan perubahan nama itu bagaimanapun perlu dibawa kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terlebih dahulu.

Indonesia mendakwa Laut China Selatan berada dalam wilayah perairan negaranya iaitu termasuk dalam 200 batu nautika zon ekonomi eksklusif di sekitar Kepulauan Natuna, di barat laut Kalimantan.

Indonesia tegas dalam menjaga wilayah perairannya dan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos lepas, Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menenggelamkan 63 kapal asing yang menceroboh perairan negara itu.

Pada Jun lepas, pihak berkuasa Indonesia menembak kapal nelayan dari China kerana memasuki kawasan perairan dekat Kepulauan Natuna dan tindakan itu dibantah China.

Seminggu selepas kejadian itu, Presiden Indonesia Joko Widodo membalas dengan mengadakan mesyuarat khas bersama beberapa menterinya di atas kapal perang milik Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia yang berlayar dan membuat rondaan sekitar kawasan perairan berkenaan.

Pada Julai lepas, Tribunal Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague, Belanda menolak tuntutan China yang mendakwa mempunyai ‘hak sejarah’ ke atas gugusan pulau di Laut China Selatan.

Tribunal merumuskan tiada asas undang-undang bagi China untuk mendakwa hak sejarah di sembilan titik garisan di kawasan laut berkenaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA