Indonesia mengubah peraturan pelaburan asing

Indonesia mengubah peraturan pelaburan asing

JAKARTA, 10 Feb – Indonesia akan melonggarkan peraturan pelaburan asing dalam beberapa sektor ekonomi, termasuk e-dagang, penjagaan kesihatan, dan industri filem, kata Presiden Joko Widodo, hari ini.

Langkah ini bertujuan menarik lebih banyak dana asing ke negara itu yang telah berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh enam tahun ekoran kejatuhan harga komoditi dan pertumbuhan lembap rakan dagang utama, China.

“Kami serius mempertimbangkan pembatalan kawal selia secara menyeluruh, tetapi memberi tumpuan kepada e-dagang, penjagaan kesihatan dan industri kreatif,” kata Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi dalam temu bual dengan Reuters di istana presiden di tengah Jakarta.

“Komitmen kami adalah untuk meningkatkan persaingan,” katanya.

Menteri Perdagangan, Thomas Lembong memberitahu Reuters secara berasingan bahawa sektor runcit juga antara yang akan dibuka kepada pelaburan asing.

Presiden Indonesia ketika ditemu bual oleh Reuters di Istana Presiden, Jakarta. – Reuters
Presiden Indonesia ketika ditemu bual oleh Reuters di Istana Presiden, Jakarta. – Reuters

Semakan akhir terhadap senarai negatif yang menamakan sektor yang mana had pelaburan asing perlu dipatuhi, dilakukan pada tahun 2014 dan dianggap oleh banyak pihak sebagai kurang mesra pelabur.

Pentadbiran Jokowi telah melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi dalam beberapa bulan kebelakangan ini bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan perbelanjaan dan meningkatkan sentimen pelabur.

Dalam perkembangan lain, Jokowi berkata, beliau mahu melihat kadar faedah yang lebih rendah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyemarakkan industri tetapi beliau tidak boleh campur tangan dalam dasar monetari bank pusat kerana ia adalah organisasi bebas.

“Saya ingin melihat kadar faedah yang lebih rendah tetapi saya tidak boleh memaksa Bank Indonesia untuk mengurangkan kadar faedah kerana mereka adalah organisasi bebas dan kerajaan menghormati cara Bank Indonesia menjalankan dasar kewangan,” katanya.

Jokowi berkata, beliau amat yakin sasaran kerajaan untuk pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi kepada 5.3 peratus pada tahun 2016 boleh dicapai selepas menurun 4.8 peratus pada tahun lalu. – Reuters