Indonesia men...

Indonesia mengundi pilih ketua eksekutif daerah

JAKARTA, 15 Feb – Sebanyak 41,802,538 rakyat Indonesia di tujuh buah wilayah hari ini mengundi untuk memilih Ketua Eksekutif rakyat bersempena Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) bagi tempoh lima tahun.

Pilkada serentak 2017 itu adalah sebagai usaha penyelarasan pilihan raya serentak seluruh Indonesia menjelang tahun 2020.

Pilihan raya itu bagi memilih jawatan ketua eksekutif wilayah iaitu Gabenor dan Naib Gabenor bagi tujuh wilayah, Datuk Bandar atau disebut sebagai Wali Kota dan timbalannya bagi 18 kota, 101 Pegawai Daerah atau disebut sebagai Bupati.

Sebanyak 310 pasangan calon iaitu 241 calon daripada parti-parti politik dan 69 calon bebas bertanding pada pilihan raya bagi merebut jawatan-jawatan itu.

Tujuh buah wilayah yang terlibat dalam Pilkada itu ialah Aceh, Bangka Belitung, DKI Jakarta, Banten, Gorontalo, Sulawesi Barat dan Papua Barat.

Presiden Joko Widodo mengisytiharkan hari ini sebagai hari cuti umum bagi membolehkan semua pemilih menunaikan tanggungjawab mereka dan waktu mengundi bermula pada pukul 7 pagi sehingga pukul 3 petang ini.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, cuaca di Jakarta dijangka hujan menjelang petang dan orang ramai dinasihati supaya keluar mengundi di awal pagi.

Walaupun wilayah Papau Barat mendapat perhatian pihak berkuasa dengan kawalan ketat ekoran ia dikenal pasti sebagai wilayah potensi konflik, media-media memberi tumpuan kepada pemilihan Gabenor dan Naib Gabenor bagi wilayah Daerah Khusus Ibu kota Jakarta.

Pilihan raya Gabenor di Jakarta menjadi topik panas hampir setiap hari ekoran pelbagai isu berkaitan politik, ras dan agama dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu sepanjang tempoh kempen Pilkada itu sejak tahun lepas.

Jawatan ketua eksekutif ibu kota itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang jawatan Basuki Tjahaja Purnama, Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Anies Baswaden yang juga bekas Menteri Pelajaran dan kebudayaan Indonesia. Keputusan dijangka diumumkan pada akhir bulan ini dan pelantikan jawatan masing-masing dijadualkan pada Mac depan. – Bernama