Indonesia minta bantuan 4 negara

Indonesia minta bantuan 4 negara

JAKARTA, 8 Okt (Reuters) – Indonesia telah meminta beberapa negara termasuk China, Singapura, Rusia, dan Jepun hari ini untuk membantu memadamkan kebakaran yang telah mengakibatkan asap tebal menyelubungi ke seluruh rantau selama beberapa minggu.

Indonesia berkali-kali telah menolak tawaran bantuan dari luar negara untuk mengatasi asap berkenaan, punca utama yang disebabkan oleh syarikat-syarikat menggunakan cara membakar untuk melapangkan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan ladang kayu pulpa di pulau Sumatera dan sebahagian pulau Borneo.

“Kami telah meminta bantuan,” kata Presiden Joko Widodo dalam satu kenyataan, menambah yang Indonesia berharap sekurang-kurangnya tiga pesawat udara dari Singapura dan Rusia agar dapat membantu memadamkan kebakaran yang sering membara dari bawah tanah selama beberapa minggu di kawasan tanah gambut.

“Apa yang diperlukan oleh kami sekarang adalah kapal terbang yang boleh membawa 12-15 tan air, bukan 2-3 tan yang dimiliki oleh kami sekarang,” kata beliau.

“Kami berharap ia akan mempercepat proses disebabkan kebakaran di tanah gambut adalah berlainan daripada kebakaran hutan,” kata beliau.

Gambar menunjukkan anggota bomba Indonesia sedang memadamkan kebakaran di Banyuasin, Sumatera Selatan semalam. Indonesia telah bersetuju untuk menerima bantuan antarabangsa untuk membasmi kebakaran hutan dan pertanian. - AFP
Gambar menunjukkan anggota bomba Indonesia sedang memadamkan kebakaran di Banyuasin, Sumatera Selatan semalam. Indonesia telah bersetuju untuk menerima bantuan antarabangsa untuk membasmi kebakaran hutan dan pertanian. – AFP

Indonesia juga dalam rundingan bersama Australia dan Malaysia tentang bagaimana mereka akan memberikan bantuan, kata jurucakap kementerian luar negeri, Armanatha Nasir.

Kebakaran dijangka membersihkan tumbuh-tumbuhan tetapi sering membara selama beberapa minggu di bawah tanah gambut.

Asap telah menyebabkan pencemaran meningkat kepada tahap bahaya di sebahagian kawasan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand, sekaligus menjejas penerbangan dan menutup sekolah pada hari yang teruk.

Operator pelancongan berasa risau dan pihak berkuasa kesihatan di seluruh rantau mengingatkan orang supaya mengelak daripada bersenam apabila asap adalah tebal. Indonesia secara rutin mengetepi aduan sementara berikrar akan bertindak untuk menghentikan pembakaran tetapi tahun demi tahun, masalah tersebut timbul semula pada musim kering.

Ia diburukkan lagi pada tahun ini dengan fenomena cuaca El Nino yang membawa keadaan amat kering. Widodo tidak mengulas mengenai kenapa Indonesia kini telah memutuskan untuk mendapatkan bantuan asing. Ia telah menghadapi kritikan kerana menolak tawaran dari Singapura.

Agensi pengurusan bencana negara Indonesia berkata pada minggu lalu ia sedang mengharapkan hujan untuk membantu memadamkan kebakaran pada awal November, apabila monsun timur laut biasanya bermula.