Indonesia pasaran narkotik terbesar Asia

Indonesia pasaran narkotik terbesar Asia

JAKARTA, 12 Nov (Agensi) – Indonesia bukan sahaja menjadi pasaran narkotik terbesar di Asia dengan 5.9 juta pengguna, bahkan ia telah menjadi sebuah negara pengeluar narkotik, kata Ketua Agensi Narkotik Nasional Indonesia (BNN), Jenderal Komander Budi Waseso.

“Sehingga Jun 2015, jumlah pengguna narkotik telah mencecah 4.2 juta orang, dan ia berkembang kepada 5.9 juta pada November ini,” kata Jenderal Komander Budi, dipetik oleh Kompas.com sebagai berkata semalam.

Beliau selanjutnya menyatakan, kira-kira 60 peratus banduan yang kini meringkuk di penjara seluruh negara telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.

Penjara Tanjung Gusta di Medan, Sumatra Utara menempatkan kira-kira 70 peratus daripada 2,700 banduan yang disabitkan dengan kesalahan dadah – menjadikan jumlah pesalah dadah terbesar di tempat itu berbanding di penjara-penjara lain.

Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, BNN akan bekerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk menjalankan serbuan dan menghentikan pengedaran dadah.

“Ia suatu isu besar yang perlu ditangani,” kata Jenderal Komander Budi.

Ketua Turus Tentera Pusat Kerahan Tentera Serantau Bukit Barisan, Brigadier-Jenderal Widagdo Hendro Sukoco, mengakui bahawa Indonesia kini menjadi satu pasaran berpotensi untuk pengedar dadah di Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA