Indonesia patahkan komplot pengganas

Indonesia patahkan komplot pengganas

JAKARTA, 20 Dis (dpa) – Polis Indonesia mematahkan satu komplot pengganasan besar dengan penahanan beberapa orang lelaki dipercayai merancang serangan bom bunuh diri di Jakarta sempena sambutan Tahun Baru, menurut dokumen yang dilihat hari ini.

Dalam serbuan di beberapa bandar di seluruh pulau Jawa pada Jumaat dan Sabtu, polis memberkas lima anggota dipercayai rangkaian pengganas dan merampas bahan kimia, peralatan makmal dan sebuah bendera yang diinspirasikan oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Di antara mereka yang diberkas ialah Asep Urip, guru berusia 31 tahun dari sebuah sekolah agama di Jawa Tengah, dan seorang pelajarnya Zaenal yang berusia 35 tahun dan dipercayai “dilatih” untuk melakukan serangan.

“Dari risikan awal, adalah diketahui Zaenal merupakan calon bagi serangan bom bunuh diri di Jakarta yang akan dilakukan sempena sambutan Tahun Baru 2016,” kata dokumen polis yang dilihat oleh wartawan AFP.

Dalam serbuan serentak itu juga polis menemui bendera hitam di rumah guru berkenaan yang mempunyai teks “sama terdapat pada bendera ISIS”, kata polis, merujuk kepada akronim kerap digunakan oleh kumpulan jihad yang menguasai sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria.

Anggota elit ‘Denjaka,’ Indonesia berpakaian awam tatkala mempamerkan kemahiran mereka ketika sesi latihan antipengganas di Jakarta, Indonesia pada 20 Disember 2015. – Agensi
Anggota elit ‘Denjaka,’ Indonesia berpakaian awam tatkala mempamerkan kemahiran mereka ketika sesi latihan antipengganas di Jakarta, Indonesia pada 20 Disember 2015. – Agensi

Polis elit antipengganas menahan guru dan pelajarnya itu selepas memberkas dua lelaki lain yang ada kaitan dengan sekolah agama dan pakar membuat bom serta kumpulan radikal lain di bahagian Jawa lain.

Salah seorang lelaki itu, Iwan, membuat perjalanan ke Jawa Barat bulan ini dengan hasrat membuat bom, dakwa polis.

Lelaki kelima diberkas berhampiran bandar Semarang pada semalam, menjurus kepada penggeledahan di rumahnya di mana pihak berkuasa menemui pelbagai bahan pembuatan bom termasuk peralatan makmal, buku teks mengenai bahan kimia dan baja.

Polis berkata operasi di seluruh negara itu – yang terbesar seumpamanya di Indonesia – menyasarkan sel-sel pengganas yang terancang.

Indonesia, negara paling ramai penduduk beragama Islam di dunia, mengalami beberapa serangan bom oleh kumpulan radikal Islam di antara tahun 2000 dan 2009, termasuk pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang. Bagaimanapun hasil tindakan berkesan pihak berkuasa berjaya melemahkan rangkaian pelampau paling berbahaya tersebut.