Indonesia pungut cukai beberapa trilion rupiah daripada Google

Indonesia pungut cukai beberapa trilion rupiah daripada Google

JAKARTA, 21 Sept – Kerajaan Indonesia dijangka memungut beberapa trilion rupiah daripada Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak sejak lima tahun lepas, lapor The Jakarta Post hari ini.

Memetik Ketua Pejabat Cukai Khas Jakarta, Muhammad Haniv, akhbar harian Inggeris tunggal di republik itu berkata, syarikat teknologi itu didakwa telah memperoleh pendapatan tinggi daripada pengiklan Indonesia tanpa membayar cukai yang sepatutnya.

“Jika Google menjana pendapatan dari Indonesia, ia perlu membayar cukai.Adalah tidak bermoral jika Google enggan berbuat demikian,” Muhammad Haniv dilaporkan sebagai berkata.

Laporan itu berkata, syarikat itu boleh didenda sehingga Rp5.5 trilion untuk 2015 sahaja.

Muhammad Haniv berkata, syarikat itu juga disyaki enggan diaudit negara itu mengenai obligasi cukai yang boleh membawa kepada tuduhan jenayah di bawah Undang-Undang Cukai 2009 jika penyiasat menemui bukti mencukupi.

Google Asia Pacific Pte Ltd boleh didenda sehingga Rp5.5 trilion untuk 2015 sahaja kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak sejak lima tahun lepas. – AFP
Google Asia Pacific Pte Ltd boleh didenda sehingga Rp5.5 trilion untuk 2015 sahaja kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak sejak lima tahun lepas. – AFP

Penyiasat agensi itu menganggarkan pendapatan Google Asia Pacific dari Indonesia tahun lepas berjumlah lebih RM1.8 bilion.

Harian Inggeris itu berkata, pihak berkuasa percukaian Indonesia sebelum ini mengesahkan sebuah syarikat bebas di Indonesia, PT Google Indonesia, telah melaksanakan kerja di bawah arahan Google Asia Pacific.

Satu perjanjian antara kedua-dua syarikat itu menetapkan PT Google Indonesia menerima tiga peratus daripada pendapatan atau pembayaran balik Google Asia Pacific, kata Muhammad Haniv.

Dilaporkan yang Indonesia sukar mencari sumber hasil negara alternatif ketika ia menerima tekanan daripada kelembapan ekonomi global serta kejatuhan mendadak harga tenaga.

Program pengampunan cukai yang sedang dilaksana kerajaan, contohnya, dijangka membantu menangani defisit bajet negara yang semakin meningkat dengan realisasi cukai-hasil yang menyumbang kurang daripada separuh daripada sasaran 2016, yang hanya tinggal empat bulan sahaja lagi.

Pada Jumaat MenteriSri Mulyani berkata, Indonesia komited memburu Google dan syarikat sepertinya dan memaksa mereka mematuhi peraturan cukai tempatan.

Sementara itu, Google dilaporkan berkata, ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia. – Bernama