Indonesia rampas ratusan tenggiling beku

Indonesia rampas ratusan tenggiling beku

SURABAYA, Indonesia, 26 Ogos – Pihak berkuasa Indonesia telah merampas lebih 650 ekor tenggiling terancam yang ditemui disorokkan dalam peti sejuk dan menangkap seorang lelaki yang dipercayai melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar, kata polis hari ini.

Polis menemui tenggiling, dikenali sebagai ‘tenggiling bersisik’, ketika mereka menyerbu sebuah rumah di daerah Jombang di pulau Jawa selepas penduduk tempat mensyaki terdapatnya sejumlah besar peti sejuk di kawasan itu.

Sekitar 657 tenggiling, yang dimakan sebagai hidangan mewah di China dan digunakan dalam perubatan tradisional, ditemui dibungkus dalam plastik dan disimpan dalam lima peti sejuk besar, kata jurucakap polis wilayah Jawa Timur, Raden Prabowo Argo Yuwono memberitahu AFP.

Pemilik rumah, lelaki berusia 55 tahun yang identitinya tidak didedahkan, telah ditangkap dan dinamakan sebagai suspek, satu langkah dalam sistem perundangan Indonesia yang bermaksud pihak berkuasa percaya mereka mempunyai bukti kukuh untuk mempertimbangkan pemfailan dakwaan.

Gambar bertarikh 25 Ogos menunjukkan kira-kira 657 tenggiling beku yang dirampas oleh polis Indonesia di Surabaya, Jawa Timur. – AFP
Gambar bertarikh 25 Ogos menunjukkan kira-kira 657 tenggiling beku yang dirampas oleh polis Indonesia di Surabaya, Jawa Timur. – AFP

Dia boleh berdepan lima tahun penjara dan denda sebanyak 100 juta rupiah (AS$7,500) kerana melanggar undang-undang perlindungan hidupan liar.

“Suspek menegaskan yang tenggiling itu bukan miliknya, seorang rakannya memintanya untuk menyimpan haiwan itu kerana dia memiliki peti sejuk berkenaan,” kata Yuwono, menambah rakannya itu juga sedang dicari.

Suspek, yang ditangkap semasa serbuan polis pada 15 Ogos, menegaskan dia tidak menjual mana-mana tenggiling itu dan enggan untuk memberitahu polis ke mana ia akan dihantar, kata jurucakap. – AFP