Indonesia sahkan terdapat ancaman pengganas

Indonesia sahkan terdapat ancaman pengganas

JAKARTA, 21 Dis (Bernama) – Kerajaan Indonesia mengesahkan terdapat ancaman oleh kumpulan pengganas untuk melakukan kekacauan bersempena sambutan Hari Natal dan tahun baharu di republik itu.

Siaran-siaran televisyen tempatan hari ini memetik Setiausaha Kabinet, Pramono Anung sebagai berkata pihak Istana telah dimaklumkan oleh polis dan terdapat bukti dokumen mengenai rancangan kumpulan pengganas untuk menimbulkan huru-hara.

Bagaimanapun polis telah membongkar kegiatan kumpulan pengganas terbabit dan bertindak awal dengan menahan beberapa suspek di beberapa buah wilayah bagi membantu siasatan.

Pramono berkata Presiden Joko Widodo telah mengarah polis mencegah kemungkinan berlaku huru-hara dan melipatgandakan kawalan keselamatan.

Katanya Presiden Republik Indonesia itu berkata kerajaan juga sedang berusaha membanteras kumpulan pengganas dengan menggunakan pendekatan pendidikan, agama dan kebudayaan.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung.

Akhbar-akhbar tempatan hari ini memetik Ketua Polis Republik Indonesia Badrodin Haiti sebagai berkata polis telah melumpuhkan satu kumpulan yang dipercayai cuba menimbulkan huru-hara di beberapa buah wilayah di negara itu bersempena hujung tahun.

Katanya pasukan khas pencegahan pengganas atau dikenali sebagai Densus 88 telah menahan beberapa individu di Tasikmalaya, Banjar, Cilacap, Mojokerto, dan Sukoharjo sepanjang minggu lepas.

Katanya penahanan mereka di beberapa buah tempat berasingan tetapi mereka dipercayai mempunyai hubungan dengan satu kumpulan yang sama iaitu kumpulan Abu Jundi alias Abdul Karim yang ditangkap di Sukoharjo di Jawa Tengah pada Sabtu lepas.

ARTIKEL YANG SAMA