Indonesia sambut Aidiladha dua tarikh berbeza

Indonesia sambut Aidiladha dua tarikh berbeza

JAKARTA, 14 Sept (Bernama) – Umat Islam di Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada dua tarikh berbeza iaitu pada 23 dan 24 September ini.

Tarikh 24 September bersamaan 10 Zulhijjah 1436 itu ditetapkan oleh kerajaan manakala tarikh 23 September pula ditetapkan sebuah organisasi agama yang berpengaruh iaitu Muhamadiyah.

Ketua Pengarah Bina Masyarakat Islam Kementerian Agama Republik Indonesia, Machasin dalam kenyataannya menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan berkata, penetapan tarikh 10 Zulhijjah 1436 Hijrah dibuat secara rukyah dan hisab.

“Tidak ada satu pun perukyah dari Aceh hingga Papua yang melihat hilal (anak bulan). Sehingga, pemerintah memastikan 1 Zulhijjah 1436 Hijrah jatuh pada Selasa 15 September 2015,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak dapat menghalang sesetengah umat Islam di negara ini yang menetapkan tarikh 10 Zulhijjah pada 23 September iaitu sehari lebih awal kerana mereka berpendapat 1 Zulhijjah 1436 jatuh Rabu ini.

Katanya, masyarakat perlu saling menghormati jika terdapat unsur yang berbeza pandangan dalam penetapan Aidiladha.

Machasin berkata, apa yang penting ialah tidak ada penistaan antara satu sama lain dan Kementerian Agama mempersilakan masyarakat merayakan Aidiladha yang berbeza dengan kerajaan.

“Kami persilakan masyarakat yang berkeyakinan 1 Zulhijjah jatuh pada 14 September dan Aidiladha pada Rabu, 23 September,” katanya.

Muhammadiyah yang dipimpin golongan ulama telah mengumumkan tarikh Hari Raya Aidiladha pada 23 September ini sejak sebulan lepas. Setiausaha Agung Muhammadiyah Abdul Mu’ti dipetik sebagai berkata, penetapan tarikh itu berdasarkan kepada penghitungan hisab hakiki wujudul hilal iaitu atas kiraan waktu dan darjah kedudukan anak bulan.

Indonesia adalah negara paling ramai umat Islam dengan lebih 80 peratus daripada 300 juta rakyatnya adalah beragama Islam.

ARTIKEL YANG SAMA