Indonesia setuju mesyuarat cadangan rondaan bersama

Indonesia setuju mesyuarat cadangan rondaan bersama

KUALA LUMPUR, 26 April – Indonesia bersetuju untuk mengadakan mesyuarat mengenai cadangan mengadakan rondaan bersama di Laut Sulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata cadangan itu ialah bagi menjalankan rondaan keselamatan menggunakan model rondaan bersama laut di Selat Melaka yang mencapai kejayaan membabitkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Pelaksanaan rondaan bersama di Laut Sulu juga akan menyaksikan kerjasama dengan Filipina dan Brunei sementara Singapura dan Thailand akan dijemput sebagai pemerhati,” kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun berkata Panglima Angkatan Tentera negara masing-masing akan membincangkan perkara itu pada peringkat nasional sebelum perkara tersebut diputuskan.

Pada 18 April, Hishammuddin mencadangkan kepada Menteri Pertahanan Filipina, Indonesia dan Brunei mengenai rondaan dan pemantauan dengan negara-negara jiran bagi membendung ancaman lanun dan insiden penculikan di Laut Sulu.

Beliau berkata pendekatan itu yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani ancaman lanun di Selat Melaka telah berjaya mengurangkan kegiatan lanun di perairan selat tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA