Indonesia siasat polis terlibat dadah

Indonesia siasat polis terlibat dadah

JAKARTA, 12 Ogos – Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan satu siasatan rasmi dalam dakwaan mengatakan pegawai kanan polis dan tentera terbabit dalam penyeludupan dadah.

Dakwaan mengatakan pegawai kanan polis dan tentera menerima sogokan daripada ketua dadah telah mencetuskan kontroversi besar di Indonesia, di mana kerajaan sedang melancarkan perang ke atas narkotik dan pada bulan lalu melaksana hukuman mati ke atas empat penyeludup yang disabit bersalah.

Freddy Budiman, salah seorang daripada empat tertuduh yang ditembak oleh skuad tembakan, didakwa memberitahu aktivis hak asasi manusia terkenal pada 2014 bahawa dia membayar polis, tentera dan pakar ejen narkotik untuk melindungi perniagaannya yang menguntungkan.

Dakwaan tersebut telah menimbulkan kemarahan institusi polis dan tentera yang berpengaruh di Indonesia. Haris Azhar, aktivis di Suruhanjaya untuk Orang Hilang mendakwa beliau bercakap dengan Budiman, telah diugut dengan dakwaan fitnah sejak menyiarkan keterangan di Internet.

Widodo mengkritik Azhar kerana mendedahkan dakwaan beberapa tahun selepas ia dibuat, namun telah mengarahkan ketua polis negara untuk menyiasat.

“Jejak, dedah dan proses dakwaan tersebut, jika ia benar-benar seperti yang dikatakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Azhar menggesa kerajaan supaya mengalih tumpuan padanya kepada pegawai kanan yang dituduh bersubahat untuk menjual dadah.

“Presiden mesti bertanggungjawab. Kami mahu satu kumpulan bebas untuk menyiasat kes itu,” katanya kepada AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA