Indonesia tangkap militan disyaki

Indonesia tangkap militan disyaki

JAKARTA, 21 Feb (AFP) – Polis Indonesia telah menahan berpuluh-puluh militan yang disyaki di pulau Jawa, sebahagian besar daripada mereka telah didakwa menjalankan latihan bercirikan ketenteraan di sebuah kawasan pedalaman pergunungan, laporan polis semalam.

Kira-kira 30 orang dilaporkan ditahan pada Jumaat lalu di Gunung Sumbing kerana telah mengambil bahagian dalam latihan itu, manakala lima lagi ditahan pada hari yang sama dalam serbuan di kota Malang.

Ia tidak jelas sama ada mereka terkait dengan penembakan dan serangan bunuh diri di Jakarta bulan lalu yang menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati, yang telah didakwa dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Seorang anggota elit, polis antikeganasan Indonesia, telah mengesahkan terdapat adanya ‘sesi latihan senjata’ semasa serbuan dijalankan di atas kawasan pergunungan itu.

Media tempatan melaporkan bahawa sekumpulan daripada 30 orang itu terdiri daripada kumpulan pemberontak Islam, Jamaah Ansharusy Syariah dan latihan dijalankan di lereng Sumbing, wilayah Jawa Tengah.

Polis antikeganasan Indonesia menggiringi dua daripada enam lelaki yang ditahan minggu ini atas disyaki terlibat dalam serangan militan bulan lalu di Jakarta, di ibu pejabat polis di Malang, Jawa Timur, Indonesia. – Reuters
Polis antikeganasan Indonesia menggiringi dua daripada enam lelaki yang ditahan minggu ini atas disyaki terlibat dalam serangan militan bulan lalu di Jakarta, di ibu pejabat polis di Malang, Jawa Timur, Indonesia. – Reuters

Tangkapan dibuat selepas penduduk tempatan melaporkan adanya bunyi tembakan kedengaran di kawasan itu, MetroTV melaporkan, yang dipetik daripada jurucakap polis wilayah, Liliek Darmanto.

Senjata api, pisau, buku-buku agama dan bendera dirampas di sebuah rumah kumpulan itu semasa dalam perjalanan ke gunung itu, kata laporan itu.

Dalam serbuan berasingan di Malang, lima pemberontak Islam yang didakwa telah ditangkap oleh polis dengan bantuan pegawai-pegawai daripada skuad elit antikeganasan, kata ketua polis tempatan, Yudho Nugroho.

“Lima masih ditahan,” katanya, sambil menambah polis telah “memantau mereka untuk seketika”.

Serangan di ibu negara yang berlaku di sekitar sebuah kedai Starbucks adalah insiden keganasan yang terburuk di negara itu dalam tempoh tujuh tahun, yang menyebabkan anggota polis melancarkan tindakan keras di seluruh negara. Pihak berkuasa berkata minggu lepas bahawa 33 orang daripada kumpulan pelampau Islam yang telah merancang untuk serangan lapangan terbang dan sasaran lain telah ditangkap, dengan purata hampir separuh daripadanya terlibat langsung dengan serangan Jakarta itu.

ARTIKEL YANG SAMA