Indonesia tawar pakej menarik 3 destinasi

Indonesia tawar pakej menarik 3 destinasi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Republik Indonesia menunjukkan minat untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke tiga destinasi utamanya, iaitu Bali, Jakarta dan Batam.

Bagi mencapai matlamat itu, Kementerian Pelancongan republik itu akan melancarkan kempen promosi pelancongan besar-besaran buat pertama kali di negara ini bagi memperkenalkan dengan lebih dekat lagi keunikan ketiga-tiga destinasi utama berkenaan serta beberapa destinasi menarik lain di Jawa Barat.

Antara langkah-langkah yang diusahakan Kementerian Pelancongan Indonesia, melalui pejabat promosi pelancongan serantaunya yang berpangkalan di Singapura, termasuk mengadakan sesi pemadanan perniagaan antara pengusaha pelancongan dari Indonesia dengan pengusaha pelancongan tempatan dan membuka kaunter-kaunter promosi pelancongan di pusat membeli-belah di negara ini.

Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Negara dan Pegawai Pelancongan Melawat Indonesia yang berpangkalan di Singapura, Sulaiman bin Shehdek, pada sidang media bagi mengumumkan rancangan Kementerian Pelancongan Indonesia itu, yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Timbalan Pengarah, Kementerian Pelancongan Indonesia, Firnandi Gufron yang juga Timbalan Menteri bagi Pemasaran Antarabangsa, Ahli Lembaga Promosi Pelancongan Jawa Barat, Maktal Hadiyat dan Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Abacus Distribution Systems (B) Sdn Bhd, Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman.

Sidang media mengenai kempen promosi pelancongan besar-besaran ke tiga destinasi utama Indonesia.
Sidang media mengenai kempen promosi pelancongan besar-besaran ke tiga destinasi utama Indonesia.

Menurut Sulaiman, sejak mengalami rombakan di bawah pentadbiran baru pimpinan Presiden Joko Widodo, Kementerian Pelancongan Indonesia kini sedang memperluaskan promosi pelancongan ke Indonesia sebagai sebahagian daripada matlamat untuk menyasarkan kunjungan 20 juta pelancong dari serata dunia menjelang 2019.

“Kami sangat berminat untuk mempelawa lebih ramai rakyat Brunei untuk mengunjungi Indonesia dan ini dimudahkan dengan adanya penerbangan terus sebanyak tiga kali sehari dari Brunei ke Bali, Surabaya dan Jakarta.

“Kami yakin dengan adanya hubungan laluan udara ini maka rakyat Brunei akan dapat merancang waktu percutian mereka untuk membeli-belah dan melancong di Indonesia,” kata beliau.

Menurutnya, walaupun segmen pasaran pelancongan di negara ini tidak begitu besar, namun pelancong negara ini mempunyai kuasa belian lebih besar dan sifat mereka yang gemar melancong ke luar negara.

Beliau menjelaskan, mulai esok, pihaknya akan mengadakan sesi pertemuan bagi sekumpulan pengusaha pelancongan dan perhotelan dari Indonesia dengan pengusaha pelancongan dan perhotelan dari negara ini untuk membincangkan strategi pemasaran dan kempen promosi pelancongan yang menarik bagi mendedahkan keistimewaan melancong ke Indonesia melalui pakej-pakej menarik.

Ketika menjawab pertanyaan pemberita, Firnandi berkata pihaknya menganggap Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu pasaran pelancongan terpenting, tetapi sehingga kini masih belum banyak kempen promosi yang dilancarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan.

“Sehubungan itu, pada pertemuan sesi kedua esok, kami telah mengundang operator-operator pelancongan dari negara ini untuk bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai suasana pelancongan di Indonesia, sekali gus dapat mempromosikannya kepada masyarakat tempatan,” ujarnya.

Kementerian Pelancongan Indonesia kini sedang giat membangunkan potensi pelancongan baru, antaranya semula jadi seperti pelancongan marin, ekologi dan pengembaraan, pelancongan kebudayaan yang termasuk pelancongan berasaskan sejarah dan keagamaan, masakan dan makanan serta pelancongan kawasan perbandaran dan desa.

ARTIKEL YANG SAMA