Indonesia tingkat import lembu

Indonesia tingkat import lembu

JAKARTA, 11 Ogos – Indonesia akan mengeluarkan permit untuk mengimport 50,000 ekor lagi lembu, menurut kerajaan, selepas harga daging lembu melambung naik dan para penjual daging mogok ekoran keputusan untuk secara dramatik mengurangkan penghantaran dari Australia.

Ketua Menteri Ekonomi, Sofyan Djalil mengumumkan pertambahan itu lewat semalam, meskipun beliau tidak menyatakan mengenai apakah tempoh lembu-lembu akan diimport.

“Saya telah memberikan kebenaran bagi agensi logistik kerajaan untuk mengimport 50,000 ekor lembu,” beliau memberitahu para wartawan, sambil menambah bahawa ia adalah “langkah jangka pendek”.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan dari mana datangnya lembu tersebut, tetapi kebanyakan daging lembu Indonesia dihantar dari Australia.

Jakarta mengumumkan bulan lepas bahawa kuota import lembu dari Australia dalam suku ketiga, dari Julai hingga September, akan ditetapkan pada 50,000, pengurangan 80 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya.

Langkah itu dibuat ketika Indonesia berusaha mencapai mampu diri dalam bekalan daging lembunya, tetapi ia mengejutkan para pengeluar lembu Australia, memandangkan Indonesia adalah pasaran terbesar bagi eksport lembu hidup, dan mencetuskan kebimbangan bahawa ketegangan diplomatik menjejaskan perdagangan.

Tetapi ekoran keputusan itu, berlaku peningkatan mendadak dalam kos daging lembu di Indonesia, dengan harga setinggi-tingginya 130,000 rupiah sekilogram di beberapa kawasan. Menurut laporan-laporan ini adalah peningkatan dari 90,000 rupiah sekilogram sebelumnya.

Harga lebih tinggi mencetuskan kemarahan awam dan mengakibatkan para penjual daging memulakan mogok empat hari pada hujung minggu.

Keputusan untuk meminta agensi logistik untuk mengimport lembu menandakan peralihan dalam prosedur biasa di Indonesia, kerana pengimport persendirian lazimnya bertanggung jawab.

Djalil berkata kerajaan akan berusaha memastikan harga tinggi bukan berpunca penimbunan. Perdagangan lembu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara berjiran ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA