Indonesia tolak hasrat Israel jalin hubungan

Indonesia tolak hasrat Israel jalin hubungan

JAKARTA, 30 Mac (Bernama) – Seorang menteri Indonesia pada Selasa lalu berkata kerajaan negara itu tidak akan menjalin hubungan rasmi dengan Israel kerana Indonesia mendukung usaha ke arah memerdekakan Palestin, lapor agensi berita China, Xinhua.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung memberitahu pemberita bahawa kerajaan negara itu lebih mengutamakan usaha membantu Palestin mencapai kemerdekaannya secara mutlak.

“Jika kemerdekaan (Palestin) boleh berlaku, ini bermakna desakan kita dipenuhi, dan Indonesia pasti terbuka hati untuk mempertimbangkannya (mewujudkan hubungan rasmi dengan Israel),” kata Pramono.

“Perkara paling penting ialah semangat untuk membebaskan Palestin kini menjadi satu keutamaan kepada Indonesia,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Isnin lalu menyatakan hasrat untuk menjalin hubungan rasmi dengan Indonesia, yang memiliki populasi orang Islam terbesar di dunia, sambil menyifatkan kedua-dua negara mempunyai ‘banyak peluang untuk bekerjasama dalam bidang air serta teknologi.”

Hasrat itu dinyatakan pada pertemuan beliau dengan sekumpulan wartawan Indonesia yang tiba di Israel sebagai tetamu Kementerian Luar Negeri.