Industri aeroangkasa sasar perolehan RM12.6 bilion

Industri aeroangkasa sasar perolehan RM12.6 bilion

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) – Industri aeroangkasa Malaysia diunjur menjana perolehan yang lebih tinggi, sebanyak RM12.6 bilion pada 2015 berbanding RM11.8 bilion tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata industri itu berkembang kukuh dengan 159 syarikat menyediakan pekerjaan kepada 19,500 orang setakat ini, dan pada masa sama merealisasikan pelaburan domestik dan asing berjumlah RM29.4 bilion hingga tahun lepas.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat pertama Majlis Aeroangkasa Malaysia di sini, hari ini, beliau berkata Malaysia ialah pasaran kedua terbesar untuk pengeluaran aeroangkasa di Asia Tenggara, menguasai 24 peratus pasaran, di belakang Singapura.

“Kami menyasarkan muncul nombor satu pada 2030, dengan industri itu diunjur menjana perolehan RM55.2 bilion dan menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada lebih 32,000 rakyat Malaysia,” katanya.

Mustapa berkata industri aeroangkasa dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan akan menjadi antara tumpuan utama MITI dalam sektor pengeluaran, selain peranti perubatan.

Bagi menjayakannya, Mustapa berkata usaha perlu dijuruskan kepada usaha mempromosi ekosistem kukuh Malaysia sebagai asas pengeluaran seperti Boeing & Airbus, dan meningkatkan kemahiran.

Mustapa berkata perusahaan kecil dan sederhana akan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ini memandangkan kira-kira 30 syarikat sudah dikenal pasti terlibat dalam industri berkenaan.

Mengenai langkah kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi dana strategik pelaburan domestik dalam RMK-11, beliau berkata ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada penggiat dalam industri aeroangkasa.

ARTIKEL YANG SAMA