Industri ekonomi digital punya potensi besar di ASEAN

Industri ekonomi digital punya potensi besar di ASEAN

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Agensi) – Industri ekonomi digital mempunyai potensi besar dalam mengubah landskap operasi perniagaan sekali gus bakal menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada masa depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata industri berkenaan yang juga penjana ekonomi baharu Malaysia itu akan menjadi pendukung kepada pembangunan sektor komersial negara.

Katanya, keupayaan industri digital akan meluaskan capaian teknologi dalam pelbagai bidang dan perniagaan termasuk perkhidmatan, makanan dan minuman (F&B) dan peruncitan.

“Sedar atau tidak perniagaan di Malaysia sudah mula beralih daripada operasi secara konvensional kepada digital di mana aplikasi mudah alih memainkan peranan penting dalam melicinkan sebarang transaksi,” katanya ketika temubual eksklusif bersama BH selepas pelancaran Pelesenan Jenama Kreatif ASEAN 2015 bersempena Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN 2015 (1AES) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata, perniagaan secara digital atau alam maya menjadikan usahawan Malaysia terdedah kepada pasaran lebih besar terutama di negara ASEAN yang memiliki keseluruhan 625 juta penduduk.

Tan Sri Dr Irwan menjawab soalan media di sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan ASEAN Brand Creative (ABC) Licensing 2015 sempena Sidang Pertama Kemuncak Keusahawanan ASEAN (1AES 2015).
Tan Sri Dr Irwan menjawab soalan media di sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan ASEAN Brand Creative (ABC) Licensing 2015 sempena Sidang Pertama Kemuncak Keusahawanan ASEAN (1AES 2015).

Katanya, dengan adanya teknologi baharu, perniagaan menjadi lebih mudah, cepat dan optimum selain syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat mengurangkan kos untuk mengambil lebih ramai pekerja.

“Di Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan, apa yang disebut ekonomi baharu sudah lama dipraktikkan, namun ASEAN agak lambat sedikit tetapi ia akan berkembang dengan pesat,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran PKS tempatan terhadap pendigitalan perniagaan perlu dipertingkatkan dalam memastikan peluang perniagaan tanpa sempadan dapat dimanfaat sepenuhnya.

“PKS perlu beralih kepada teknologi bukannya kekal dengan teknik konvensional. Tidak kiralah ia membabitkan automasi dalam peralatan dan mesin atau operasi digital.

Mohd Irwan berkata, kerajaan juga akan mewujudkan mekanisme untuk mengukur kesan positif ekonomi baharu kepada KDNK kerana sumbangannya merentasi sempadan.

ARTIKEL YANG SAMA