Industri fesyen Islam berpotensi

Industri fesyen Islam berpotensi

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bagi membantu usahawan memulakan perniagaan berdasarkan model Amerika Syarikat (AS), Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARE) telah menganjurkan program bengkel selama dua hari bersama pengasas dan pengarah laman sesawang http://www.primomoda.com, Zeena Altalib, bermula hari ini.

Zeena Altalib merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang fesyen dan pakar niaga dagangan dengan berpengalaman lebih 10 tahun dalam operasi peruncitan, fesyen reka bentuk, sumber produk dan pengurusan rantaian bekalan dalam industri fesyen.

Dalam ceramah di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi di Anggerek Desa itu, Zeena telah berkongsi mengenai perjalanannya sebagai seorang usahawan dan pandangan beliau mengenai pasaran fesyen Islam, pemasaran elektronik dan strategi pemasaran.

Ketika ditemui Media Permata selepas itu, Zeena berkata semakin ramai pereka tempatan mengambil peluang bekerjasama dengan kedai konsep dan kedai-kedai runcit dalam talian yang mempunyai jangkauan serantau dan antarabangsa.

Menurut beliau, menggunakan identiti anda dalam memajukan fesyen adalah sesuatu yang akan membuat perbezaan dan menjadikan Brunei atau mana-mana negara lain di Asia lebih menonjol dengan warna, fesyen dan idea sendiri untuk menarik pasaran luar kerana Brunei adalah tempat di mana usahawan perlu untuk mempelbagaikan perniagaan mereka.

Antara yang hadir pada program berkenaan.
Antara yang hadir pada program berkenaan.

“Jadi saya rasa identiti fesyen benar-benar penting di sini kerana anda mahu mengekalkan perspektif budaya dan mencampurkannya dalam reka bentuk moden dan mempromosikan fesyen berkenaan ke negara-negara lain.

“Jika seseorang menumpukan kepada fesyen wanita dan seseorang lagi menumpukan kepada fesyen kanak-kanak atau lebih khusus lagi hanya pakaian renang atau hanya pakaian sukan, saya rasa anda akan mendapat lebih daripada itu berbanding seorang penjual yang menawarkan segala-galanya dengan kualiti yang kurang,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Duta AS ke Brunei Darussalam, Craig B. Allen dalam satu kenyataan berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan DARE bagi program seperti ini dan gembira mengalu-alukan Zeena Altalib ke Brunei.

“Kami percaya program ini akan mendorong rakyat negara ini mempertimbangkan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, dan dengan itu membolehkan penglibatan ekonomi yang lebih meluas di antara AS dan Brunei,” kata Allen.

Menurut beliau, di seluruh dunia, usahawan wanita yang berjaya dalam perniagaan kecil-kecilan atau perusahaan global semakin bertambah.

Katanya, Setiausaha John Kerry juga percaya pelaburan melatih dan membimbing usahawan wanita bukan sahaja boleh menanggung keluarga mereka sendiri, tetapi juga membantu ekonomi negara berkembang.

Catherine Muller ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Catherine Muller ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Zeena Altalib ketika menyampaikan ceramah yang berlangsung di Bangunan D&T, Anggerek Desa.
Zeena Altalib ketika menyampaikan ceramah yang berlangsung di Bangunan D&T, Anggerek Desa.

Pegawai Urusan Awam di Kedutaan AS, Catherine Muller dalam ucapannya menjelaskan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat komited dalam mewujudkan ekonomi di Brunei yang lebih pelbagai, lebih keusahawanan dan lebih kreatif.

“Memperkukuhkan hubungan ekonomi kami dan melibatkan diri dengan Brunei pada kepelbagaian ekonomi adalah keutamaan yang tinggi untuk Kedutaan AS.

“Tahun ini sahaja, kami sangat bertuah dapat bekerjasama dalam pelbagai inisiatif yang telah mengukuhkan ekonomi Brunei dan memperdalamkan penglibatan ekonomi Brunei-AS seperti membawa lebih 20 orang usahawan Brunei ke pertunjukan perdagangan AS atau membawa usahawan AS ke Brunei untuk berkongsi amalan terbaik,” tambah Catherine Muller lagi.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif DARE, Soon Loo, dalam kenyataannya berkata, industri fesyen Islam mempunyai potensi besar untuk diteroka oleh pereka tempatan memandangkan 1.7 bilion penduduk Islam (kemas kini 2015) merupakan 23 peratus daripada penduduk global, dan ini merupakan peluang yang sangat besar bagi perusahaan kecil dan besar.

“Faktor unik tentang fesyen Islam ialah ia mempunyai jangkauan yang lebih luas bukan hanya untuk penduduk Islam tetapi juga mereka yang berminat dengan pakaian yang sopan. Banyak jenama terkenal dan diiktiraf seperti Tommy Hilfiger, Uniqlo dan DKNY kini menyertai dan melihat potensi pasaran ini untuk mencipta pilihan yang menutup aurat bagi pelanggan mereka,” kata Soon Loo.

ARTIKEL YANG SAMA