Industri francais jangka sumbang RM28 b

Industri francais jangka sumbang RM28 b

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) – Industri francais negara dijangka terus berkembang pesat dan diunjur menyumbang RM28 bilion kepada ekonomi negara tahun ini, iaitu sasaran 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sumbangan industri tersebut dijangka terus meningkat berdasarkan trend peningkatannya iaitu RM26.8 bilion(2.7 peratus daripada KDNK 2015) dan RM24.6 bilion (2.5 peratus daripada KDNK 2014).

“Industri francais di Malaysia semakin berkembang setiap tahun dan ini merupakan petanda baik apabila semakin ramai yang menceburi bidang perniagaan ini.

“Senario positif ini memberi kebaikan kepada negara kerana ia dapat merangsang ekonomi domestik,” katanya pada majlis penutupan Program Pemantapan Francaisor Bumiputera di sini, hari ini.

Majlis yang dianjur oleh Perbadanan Nasional Bhd (PNS) itu dihadiri seramai 62 francaisor daripada 42 buah syarikat. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi PNS Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al Habshee dan Pengarah Urusan Datuk Syed Kamarulzaman Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Program Pemantapan Francaisor Bumiputera yang dijalankan PNS itu meliputi kaedah konsultasi, bimbingan serta latihan dan merupakan insentif kepada syarikat francaisor Bumiputera yang telah menyertai Program Penarafan Francaisor pada tahun lepas.

Ahmad Bashah berkata program yang dijalankan oleh PNS itu membolehkan francaisor dan bakal francaisi memperoleh kelebihan dan peluang untuk mendapatkan bantuan kewangan melalui akses yang lebih baik kepada institusi kewangan.

Sejak program Penarafan Francaisor diperkenalkan pada tahun 2013, seramai 65 francaisor Bumiputera telah menyertainya.

Beliau juga berkata setakat ini sebanyak 807 syarikat francais telah berdaftar dengan KPDNK.

“Kerajaan menyasarkan 1,000 syarikat francais mendaftar menjelang 2020, dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat bersama-sama di dalam dunia perniagaan,” katanya.