Industri ICT terus mekar

Industri ICT terus mekar

Oleh Syahmi Hassan dan Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Industri ICT Brunei telah berkembang, di mana Brunei telah mencapai piawaian, dan sekarang, sasaran seterusnya ialah di luar negara.

“Inilah perkara yang paling penting,” tekan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Yang Berhormat Pehin memberikan contoh di mana terdapat beberapa orang warga tempatan ketika ini sedang bekerja di Indonesia menghasilkan perisian untuk beberapa buah organisasi di sana dan sesetengah daripada mereka bekerjasama dengan industri permainan (gaming industry) di Jepun.

Oleh yang demikian, bakat pelatih CAMP BSDC boleh mencapai ke peringkat antarabangsa dengan sokongan padu yang diberikan oleh Microsoft dalam menunjuk ajar mereka dalam Industri ICT berkenaan, ujar beliau lagi dalam temu bual bersama media selepas Majlis Tamat Latihan Program Mentor dan Keupayaan (CAMP) Pusat Pembangunan Penyelesaian Brunei (BSDC) dan Perasmian Rakan Kongsi Tempatan BSDC yang berlangsung di Bangunan Teknologi dan Rekaan, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan, APAC Microsoft, Fred Nylander yang turut ditemu bual, menjelaskan bahawa beliau sangat kagum dengan bilangan orang yang berbakat di Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan CAMP BSDC, Dayang Siti Nor Izuana. – Gambar oleh Sim Y.H.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan CAMP BSDC, Dayang Siti Nor Izuana. – Gambar oleh Sim Y.H.

“Kami mempunyai beratus-ratus pemohon datang ke sini dan mahu menjadi sebahagian daripada BSDC dan mereka melalui beberapa temu duga yang sukar.”

Menurutnya, daripada temu duga berkenaan, mereka melihat terdapat ramai warga tempatan yang mempunyai bakat mendalam mengenai dunia IT.

Terdahulu, Fred Nylander berkata bahawa BSDC merupakan wadah global dan satu projek yang berjaya.

“Terdapat tiga teras yang dilihat iaitu menyampaikan projek yang berkualiti kelas tertinggi; menyokong peserta melalui program selama setahun; serta menyokong ekosistem dan membina rakan kongsi.

“Ketiga-tiga teras berkenaan, dalam persekitaran kerja yang sangat baik, merupakan wadah global yang hebat. Dan ia terbukti berhasil dengan terdapatnya sekurang-kurang tiga ke empat buah negara menggunakan Brunei sebagai contoh,” tambahnya. Mengulas mengenai hal itu, Yang Berhormat Pehin berkata ia merupakan perkara yang penting, kerana selama ini, Brunei mempelajari daripada pihak lain, tetapi dalam kes ini, negara lain yang mempelajari Brunei dan mengambil Brunei sebagai contoh.

ARTIKEL YANG SAMA