Industri ikan hiasan marin berpotensi

Industri ikan hiasan marin berpotensi

PORT DICKSON, 10 Julai (Bernama) – Industri penternakan ikan hiasan marin dan tumbuhan akuatik (batu karang) berpotensi menjadi pasaran eksport Malaysia terbaharu yang sangat menguntungkan sekiranya dipelopori dan diusahakan secara sistematik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata potensi pasaran ikan hiasan marin ini sangat besar, terutama di negara maju seperti Eropah.

“Potensi ikan hiasan marin ini sangat besar untuk pasaran eksport kerana permintaan dari negara berkenaan sangat tinggi, sementara dalam negara pun nampaknya ada peningkatan permintaan untuk ikan hiasan ini.

“Sebelum ini, orang tak begitu mengikuti sangat berkaitan ikan hiasan, tidak dianggap sebagai satu perniagaan atau pun satu industri, namun perlahan-lahan minat orang awam terhadap ikan hiasan marin ini semakin lama semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dickson di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Zainudin Abd Wahab dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan A. Rahaman Suleiman.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melihat ikan hiasan marin di Pusat hiasan ikan marin Port Dickson. – Bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melihat ikan hiasan marin di Pusat hiasan ikan marin Port Dickson. – Bernama

Untuk itu katanya pihak berkaitan industri berkenaan wajar mencari pasaran yang berpotensi untuk mempromosi ikan hiasan marin ini, sekali gus dapat membantu usahawan muda mengembangkan pasaran ikan hiasan ke luar negara.

Katanya kira-kira dua juta peminat ikan hiasan marin dikesan di seluruh dunia, dan nilai industri pasaran ini mencecah US$300 juta di Amerika Syarikat sahaja, yang membuktikan permintaan besar untuk industri ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi mengelakkan eksploitasi sumber ikan hiasan marin, Jabatan Perikanan memulakan program pembangunan industri ikan hiasan sebagai bidang yang berpotensi dengan membina PIH di sini yang juga merupakan satu-satunya pusat pembiakan ikan hiasan di Malaysia.

PIH yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Perikanan dirasmikan 3 Mei 2011 dan berfungsi sebagai pusat penyelidikan pembiakan dan pengendalian ikan hiasan marin, kuda laut dan batu karang.

Selain itu, pusat ini juga menggunakan aplikasi teknologi sistem ternakan baharu (sistem RAS) serta merangsang penglibatan pihak swasta melalui program Agropreneur Muda yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain komponen penyelidikan perikanan, PIH turut mempunyai galeri rujukan penyelidikan ikan hiasan marin, selain mempamerkan pelbagai spesies ikan hiasan yang sesuai untuk akuarium.

ARTIKEL YANG SAMA