Industri kewangan Islam kekurangan 56,000 profesional

Industri kewangan Islam kekurangan 56,000 profesional

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) – Industri kewangan Islam menghadapi kekurangan hampir 56,000 profesional yang cekap untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Akreditasi Kewangan (FAA), Dr Amat Taap Manshor, berkata kekurangan yang sangat meruncing itu berlaku dalam pasaran modal Islam, serta sektor takaful dan perbankan, terutama dalam pasaran penting seperti Malaysia, Indonesia dan Asia Barat.

“Bagi Malaysia sahaja, keseluruhan pasaran kewangan Islam mengalami kekurangan kira-kira 40,000 profesional, yang diunjur sehingga 2020.

“Kekurangan itu dialami dalam bidang khusus, terutama di peringkat pertengahan. Kita memerlukan individu berpengalaman dan pakar untuk keperluan industri,” katanya kepada Bernama di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini, hari ini.

Dr Amat berkata situasi tersebut adalah disebabkan ketakpadanan latihan kemahiran dan keperluan pasaran.

“Kerjasama erat adalah amat diperlukan antara industri dan institusi pengajian tinggi dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dan cekap untuk industri.

“Institusi latihan seperti INCEIF (Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam), yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia, mempunyai latihan yang berasaskan industri untuk graduan, ini akan membantu mengatasi kekurangan itu,” katanya.

INCEIF menawarkan program profesional dan sejumlah daripadanya diberi akreditasi oleh FAA, katanya.

“Kekurangan (profesional) merupakan satu masalah yang berterusan. Kita tidak mempunyai jangka masa tertentu bila ia boleh diatasi. Usaha berterusan daripada semua pihak sangat diperlukan.

“Agak mencabar untuk memenuhi permintaan itu dengan berdasarkan kadar pertumbuhan semasa (industri kewangan Islam) antara 15 dan 18 peratus,” katanya.

Mengenai jumlah pihak bukan Islam yang menyertai industri kewangan Islam, Dr Amat menyifatkan keadaan itu merupakan petanda baik memandangkan ia memberi tanggapan bahawa apa yang lebih penting adalah tawaran nilai bagi setiap produk.

Terdahulu, beliau telah membentangkan tajuk yang berjudul ‘Membangunkan Modal Insan Berkelas Dunia dalam Kewangan Islam’ pada forum berkenaan, yang menekankan keperluan pembangunan modal insan yang perlu disegerakan untuk bergerak seiring dengan pertumbuhan industri.

FAA menyokong usaha memastikan profesional dilengkapi keperluan yang dikehendaki dengan menyediakan satu akreditasi kepada program pembelajaran kewangan Islam, yang menggabungkan kecekapan teknikal dan kemahiran insaniah bagi melahirkan profesional berkualiti, katanya.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi dari INCEIF, berkata, profesion dalam kewangan Islam memerlukan kemahiran, kecekapan dan etika.

“Ketika jurang semasa sentiasa dipenuhi dengan pengambilan tenaga kerja dari industri konvensional, sejumlah (profesional) yang menyertai industri ini masih mempunyai pengetahuan yang tidak mencukupi dalam Syariah, manakala yang lain kekurangan dalam aspek etika,” katanya.

Pada ketika ini INCEIF merupakan satu-satunya institusi yang menawarkan program pasca siswazah dalam kewangan Islam, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA