Industri kreatif angkat Bahasa Melayu

Industri kreatif angkat Bahasa Melayu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Berbekalkan daya cipta yang bermutu ruang kedaulatan dan ketinggian Bahasa Melayu dapat ditembusi melalui inovasi dan aura bidang seni tersendiri sekali gus memacu kefahaman dan kecintaan terhadap bahasa Melayu.

Ia juga dapat menyulami kerja-kerja seni dengan unsur nilai murni dan jati diri tinggi supaya ia dapat menyeimbangkan mobiliti sosial masyarakat.

Perkara ini disuarakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Aminah binti Haji Momin semasa Majlis Syarahan MABBIM ke-8 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas hari ini.

Beliau seterusnya berkata, “Syarahan MABBIM ini merupakan kegiatan tahunan di bawah payung Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) mengikut giliran negara anggota.

Antara yang hadir di majlis syarahan MABBIM ke-8.
Antara yang hadir di majlis syarahan MABBIM ke-8.

“Pelbagai inisiatif dan wadah yang boleh diketengahkan bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu dan salah satunya melalui platform industri kreatif,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri kreatif memainkan peranan penting dan mendominasi kehidupan selain ia merupakan wahana dalam mengeksploitasi daya cipta dengan pelbagai elemen seni yang mengekspresikan gambaran karakter, nilai murni, nilai estetik, gaya dan perasaan.

Di samping itu, industri kreatif juga dapat melihat cantuman fenomena yang berlaku dalam situasi semasa yang mencerminkan budaya dan bahasa sebuah negara.

“Perlunya melihat seni kreatif bergerak seimbang dengan perkembangan dan kemajuan dunia dengan mendinamikkan lagi fungsinya supaya tidak bersifat statik semata-mata menghiburkan penonton seperti stigma sesetengah masyarakat masa ini,” tegasnya.

Menurutnya, industri kreatif turut menyumbang kepada tamadun sebuah bangsa dengan caranya yang berkesan, halus dan kreatif. Terdapat banyak sudut yang perlu diterokai melalui saluran industri kreatif di mana bahasa juga mampu menyerlahkan identiti bangsanya.

Katanya lagi, “Bahasa Melayu perlu menyerlahkan kehebatan dan ke dinamismenya daripada segi mengungkapkan ilmu dalam bidang falsafah, seni, sains, teknologi dan ilmu moden.”

Manakala, perkembangan dan kemajuan sebuah bangsa juga bergantung kepada penggunaan bahasa di mana bahasa sesebuah negara itu mampu menyerlahkan keupayaan dalam membentuk pernyataan tepat, konkrit, jitu, jelas dan berkesan.

“Usaha pentransformasian secara langsung dapat memvisualisasikan prestij tinggi dan kualiti bahasa Melayu di samping meningkatkan sumber daya manusia dalam membangun sebuah bangsa dan negara,” tambahnya.

Apa yang penting, kemajuan industri kreatif selain menjana kepada peningkatan sumber ekonomi negara, ia juga berupaya mempelbagaikan pencambahan budaya dalam komuniti bangsa yang berbeza-beza, selain itu, melalui industri ini juga khazanah budaya bangsa dapat dilestari dan diperkasakan.

Beliau seterusnya berharap, syarahan MABBIM kali ini dapat memberi sudut pandang positif mengenai pentingnya bahasa Melayu seterusnya memantapkan peranannya dalam dunia industri kreatif.

Syarahan MABBIM turut diserikan dengan syarahan bertajuk ‘Menduniakan Bahasa Melayu/Indonesia melalui Industri Hiburan/Kreatif’ oleh Rektor Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohammad Hatta bin Azad Khan.

ARTIKEL YANG SAMA