Industri logistik Kazakhstan sedia kerjasama dengan M’sia

Industri logistik Kazakhstan sedia kerjasama dengan M’sia

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Penggiat industri logistik dan pengangkutan Kazahkstan bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat dari Malaysia untuk meneroka industri pengangkutan muatan terutamanya di Asia Tengah, kata Kaunselor Kedutaan Kazakhstan Serik Amirov.

Amirov berkata sinergi antara penggiat industri itu akan memberi faedah kepada kedua-dua negara dan Malaysia akan berfungsi sebagai hab bagi barangan terutamanya dari Asia Tenggara.

“Kerjasama antara kedua-dua negara itu akan membawa kepada pengurangan kos dan meningkatkan eksport Malaysia ke Asia Tengah. “Kami kini menawarkan laluan darat bagi pengangkutan barangan pengguna laris dan barangan berkaitan dengan sektor pengilangan yang hanya akan mengambil masa perjalanan antara 13 dan 15 hari sahaja.

“Pengangkutan melalui laut akan mengambil masa sehingga dua bulan,” katanya kepada pemberita selepas memberi ceramah berkenaan “Peluang dan Perspektif Pengangkutan Muatan ke Asia Tengah dan Kesatuan Ekonomi Eurasia”, di sini, hari ini.

Amirov berkata pertumbuhan kuantiti kontena telah menurun antara Asia Tenggara dan Asia Tengah.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Asia Tengah, setakat September 2016, menyusut kepada AS$9.6 juta berbanding AS$14 juta yang dicatatkan pada penghujung September 2015.

“Ketika ini, kami telah membina satu terminal usaha sama Kazakhstan-China di China untuk menggalakkan lagi laluan baharu tersebut, yang akan mengguna Pelabuhan Lianyungang sebagai hab sebelum barangan diagihkan semula ke negara lain di Asia Tengah,” katanya.

KTZ Express, yang terlibat dalam projek pelabuhan Lianyungang, menawarkan kereta api blok kontena tetap dari Lianyungang ke Almaty dan negara-negara Asia Tengah dengan kekerapan satu kereta api blok setiap minggu. – Bernama