Industri minyak dan gas terus suram pada 2016

Industri minyak dan gas terus suram pada 2016

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Industri minyak dan gas suram pada 2015, dan kedudukan harga minyak yang rendah akan terus membelenggu industri ini dalam tempoh sederhana.

Daripada harga puncak setinggi AS$112 setong pada Jun tahun lepas, Bent, penanda aras global, kini tinggal separuh, jatuh kepada AS$61.31 pada Jun tahun ini.

Harga terus-menerus susut ke paras bawah AS$50 setong sejak Ogos, sebelum turun ke paras AS$36.33 pada 14 Disember, tinggi sedikit daripada paras terendah AS$36.20 yang direkodkan semasa krisis kewangan 2008.

Prestasi harga minyak yang rendah ini berpunca daripada bekalan minyak berlebihan, selain peningkatan industri syal di AS, manakala Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pula enggan mengurangkan pengeluaran, yang kini dianggarkan kira-kira 31 juta tong sehari (bpd).

Lebihan bekalan dunia kini antara 500,000 dan 2.0 juta bpd, dan unjuran oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), menunjukkan pengeluaran global akan terus meningkat kepada kira-kira 900,000 bpd setahun.

Walaupun harga minyak yang rendah memberi impak negatif ke atas sektor huluan industri ini, sektor hiliran memperoleh manfaat daripada situasi ini dengan kedudukan margin yang lebih baik.

Ketua Perniagaan Komersial Petron Fuel International Sdn Bhd Choong Kum Choy berkata berasaskan kedudukan ini, pemacu pelaburan dijangkakan beralih kepada sektor huluan kepada sektor hiliran, terutama dalam perniagaan pemasaran.

“Margin yang kami nikmati bagi produk yang kita jual akan terus sihat. Menerusi pendapatan yang stabil dan sihat, syarikat-syarikat pemasaran akan terus melabur dalam perniagaan ini,” katanya kepada Bernama.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Moody’s Investor Services yang mengekalkan unjuran stabil ke atas subsektor penapisan dan pemasaran serta aktiviti pertengahan. – Bernama