Industri nanas Sarawak bakal dimajukan

Industri nanas Sarawak bakal dimajukan

KUCHING, 30 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri Sarawak bersedia memberi sokongan kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam usaha melonjakkan industri nanas sebagai antara penggerak pertumbuhan utama industri berasaskan pertanian di negeri ini.

Ketika memberi jaminan itu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata industri nanas di Sarawak mempunyai banyak peluang dan ruang untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

“Kita amat berharap LPNM dapat memainkan peranan dalam memastikan sektor tanaman nanas di negeri ini dapat berkembang dengan cepat,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Industri Nanas 2015 di sini hari ini yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Selain menggunakan teknologi baharu dalam penanaman dan pemprosesan nanas, Adenan juga mahu pihak LPNM memperkenalkan varieti baharu seperti MD2 yang lebih menguntungkan para pengusaha dari segi pengeluaran.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (kanan) memberi pose istimewa untuk jurugambar selepas merasmikan Seminar Nanas negeri Sarawak 2015 hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (kanan) memberi pose istimewa untuk jurugambar selepas merasmikan Seminar Nanas negeri Sarawak 2015 hari ini.

“Kita mahukan perubahan yang meliputi keseluruhan aspek dalam rantaian industri nanas, bermula daripada aktiviti penanaman di ladang yang mengamalkan amalan pertanian yang baik, peningkatan produktiviti pengeluaran hasil, pengendalian lepas tuai sehinggalah kepada aktiviti lain,” katanya.

Adenan berkata industri kecil dan sederhana berasaskan nanas juga perlu diberi perhatian memandangkan sektor ini akan mempertingkatkan pendapatan pengusaha dengan adanya nilai tambah.

Sementara itu, Jabu berkata untuk meluaskan kawasan tanaman nanas, meningkatkan pengeluaran hasil serta nilai eksport produk nanas, industri itu memerlukan kumpulan pengusaha dan penanam yang berdedikasi, komited serta diurus secara sistematik.

Terdahulu ketika berucap, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek berkata industri penanaman nanas mempunyai masa depan yang sangat cerah di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar lebih ramai pengusaha di Sarawak melibatkan diri dalam industri itu bagi meluaskan lagi kawasan tanaman dan pengeluaran nanas di negeri ini.