Industri pelancongan, hospitaliti kekal jana pendapatan penting sabah

Industri pelancongan, hospitaliti kekal jana pendapatan penting sabah

KOTA KINABALU, 25 Ogos – Industri pelancongan dan hospitaliti kekal sebagai sektor penjanaan pendapatan yang penting kepada Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha keras dalam menyediakan ransangan ekonomi terbaik bagi meningkatkan industri berkenaan agar kekal berdaya maju untuk tahun-tahun akan datang.

“Kerajaan negeri akan meneruskan komitmennya dalam sektor pelancongan dan hospitaliti dengan menyediakan peruntukan dalam Bajet negeri.

“Pelan Induk Pelancongan Sabah bertujuan antara lain untuk meningkatkan infrastruktur kepada akses terhadap semua tempat pelancongan dan hubungan udara di lapangan terbang utama di seluruh negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Kolej Pelancongan Antarabangsa Asia (ATI) ke-19 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan wawasan bagi menjadikan Kota Kinabalu sebagai pusat mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

Datuk Seri Musa menyampaikan sijil tamat pengajian kepada seorang daripada 250 graduan Kolej Asian Tourism International pada majlis konvokesyen kolej itu semalam. – Bernama
Datuk Seri Musa menyampaikan sijil tamat pengajian kepada seorang daripada 250 graduan Kolej Asian Tourism International pada majlis konvokesyen kolej itu semalam. – Bernama

Katanya Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu yang akan siap tidak lama lagi pastinya akan mengubah wawasan itu menjadi kenyataan dan meningkatkan industri pelancongan Sabah ke arah lebih baik serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Berhubung tahap keselamatan dan kesan terhadap sektor pelancongan, Musa berkata kerajaan akan terus melaksanakan langkah keselamatan terbaik agar Sabah selamat kepada rakyat tempatan dan pengunjung.

Mengenai majlis konvokesyen itu, sejumlah 250 pelajar Kolej ATI menamatkan pengajian di peringkat diploma, pra-diploma dan sijil kemahiran dalam pengurusan kulinari, hospitaliti dan pelancongan.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun serta Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ATI Datuk Seri Wong Khen Thau. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA