Industri pelancongan Thailand mula rasa bahana akibat keganasan

Industri pelancongan Thailand mula rasa bahana akibat keganasan

BANGKOK, 14 Ogos –Thailand mula terasa kesan buruk yang menimpai ndustri pelancongannya beberapa hari selepas satu siri letupan bom berlaku di pusat utama pelancongan di Hua Hin, Phuket dan Phang Nga, yang meragut empat nyawa dan mencederakan 35 orang, termasuk 35 pelancong asing.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi suasana kacau-bilau dan mengarahkan agar kawalan keselamatan ditingkatkan di tempat tumpuan awam dan tarikan pelancong di seluruh negara.

“Saya hairan kenapa perbuatan meletupkan bom berlaku ketika negara ini sedang melangkah maju. Sektor ekonomi dan pelancongan semakin bertambah baik. Siapakah agaknya yang (anda rasa) tidak ingin melihat kebaikan berlaku di Thailand ini!” katanya kepada media tempatan beberapa hari selepas berlaku keganasan itu.

Industri pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Thailand,menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun dan merupakan sumber pendapatan tukaran asing utama bagi negara ini.

Oleh kerana sebahagian besar masyarakat Thailand bergantung pada industri pelancongan sebagai sumber pendapatan, maka tidak hairanlah kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk melindungi industri itu daripada sebarang keburukan.

Letupan bom dan serangan khianat di kawasan tarikan pelancongan negara ini,mula menampakkan kesan buruknya apabila pengusaha pelancongan tempatan melaporkan banyak pelanggan membatalkan tempahan berikutan kejadian itu. Presiden Persatuan Pelancongan Trang Prateep Jongthong berkata keganasan itu menjejaskan industri pelancongan di wilayah berkenaan dan pihaknya meminta kerajaan campur tangan bagi memulihkan keyakinan pelancong. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA