Industri percetakan Asia-Pasifik mampu tumbuh 8 hingga 10 peratus

Industri percetakan Asia-Pasifik mampu tumbuh 8 hingga 10 peratus

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) – Industri percetakan Asia Pasifik mampu berkembang di antara lapan hingga sepuluh peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi tujuan ini, Forum Seni Grafik Asia Pasifik (FAPGA) 2015 yang dibuat pada setiap tahun akan berfungsi sebagai platform untuk membantu merangsang pertumbuhan di rantau ini.

Acara itu dianjurkan oleh Persatuan Pencetak Malaysia (MPA).

Pengerusi penganjur dan ahli jawatankuasa, Liew Chee Khong berkata FAPGA juga akan membantu pencetak Malaysia berhubung dengan persatuan-persatuan dari negara lain.

“Dengan industri yang mempunyai potensi untuk berkembang sebanyak lapan hingga sepuluh peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, forum ini memberikan peserta peluang untuk berkembang dalam ekosistem itu.

“Untuk tahun ini, sepuluh negara anggota semakin dihubungkan, iaitu Malaysia, Jepun, China, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Australia, Singapura, India dan Sri Lanka,” katanya.

FAPGA yang akan diadakan dari 7-9 Ogos, akan dianjurkan buat kali pertama di Eastin Hotel di Petaling Jaya, dan kemudian bersambung ke Straits Quay, Pulau Pinang.

“FAPGA 2015 kali ini bertemakan Ekologi Cetak, iaitu pengurusan yang penting untuk membuat perniagaan cetak lebih responsif, berkesan, lestari dan selamat dalam rangkaian ekosistem yang kompleks.

“FAPGA 2015 merupakan acara antarabangsa yang bertujuan untuk mengumpul semua pihak-pihak berkepentingan di negara-negara Asia Pasifik bagi membincangkan isu-isu utama yang berkaitan dengan seni dan perkara-perkara percetakan grafik,” kata Liew.

Beliau berkata demikian pada taklimat, selepas pelancaran media forum tersebut hari ini oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong berserta dengan Pengerusi MPA, Datuk Koay Hean Beow.