Industri perkapalan nantikan ‘angin perubahan’

Industri perkapalan nantikan ‘angin perubahan’

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) – Selepas menerima kesan daripada kelembapan ekonomi global pada tahun ini, industri perkapalan Malaysia mahukan ‘angin perubahan’ pada tahun 2016, menjangka peningkatan dalam perdagangan laut.

Tahun ini menyaksikan Indeks Kering Baltic (BDI), petunjuk yang memantau keadaan ekonomi dunia dengan menjejaki harga bahan-bahan mentah utama melalui laut, susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga dekad sebanyak 498 mata pada 20 November.

“Prospek di seluruh dunia bagi industri perkapalan tidak sekata,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Westports Holdings Bhd, Ruben Emir Gnanalingam Abdullah. Walaupun beberapa negara dan wilayah menghadapi cabaran ekonomi baru-baru ini, yang lain mengekalkan momentum positif, katanya. Sehubungan itu, Westports bekerjasama dengan pelanggannya untuk memastikan mereka dapat memaksimumkan pertumbuhan yang menggalakkan bagi sektor itu, katanya kepada Bernama.

Selain perdagangan global, harga komoditi turut memberi kesan kepada industri perkapalan, kata Shahrull Allam Shah Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Bhd yang merupakan unit milik penuh MMC Bhd.

Apabila harga rendah, katanya pengimport akan cenderung untuk membeli lebih banyak komoditi dan ia berlaku sebaliknya apabila harga meningkat.

Harga komoditi dijangka terus lembap atau merosot pada 2016, bagaimanapun ia tidak semestinya menjadi berita buruk bagi Johor Port, katanya.

Sebagai hab komoditi serantau dan terminal minyak sawit terbesar dunia, Johor Port akan meraih manfaat dengan peningkatan penggunaan gudangnya, katanya. “Lebih ramai orang akan menyimpan komoditi mereka di gudang kami dan menjualnya apabila mereka mendapat harga yang sesuai,” katanya, memetik Bursa Logam London (LME), pusat dagangan logam industri dunia, antara pelanggan pelabuhan itu.

Johor Port memperuntukkan antara RM300 juta dan RM400 juta untuk membaik pulih pelabuhannya bagi pertumbuhan masa depan, yang termasuk menambah baik dermaga, peluasan gudang serta membaik pulih dan membeli peralatan baharu.

Johor Port pada masa ini mengendalikan hanya 800,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), setahun dan mempunyai kapasiti untuk 1.2 juta TEU. Bagi keseluruhan kapasiti pengendalian kargo pada 2015, pelabuhan Malaysia mencatatkan kendalian kontena sebanyak 20.05 juta TEU antara Januari dan Oktober 2015 berbanding 22.67 juta TEU dicatatkan pada 2014.