Industri Takaful tawar pendapatan lumayan

Industri Takaful tawar pendapatan lumayan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Perniagaan Takaful boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan memandangkan industri ini kini baru menguasai 14 peratus pasaran di Malaysia, kata Ketua Pegawai Komersial, Keluarga Takaful Ikhlas Bhd Wan Rosli Shaharuddin Wan Yaacob.

Beliau berkata masih banyak peluang boleh dicapai bukan sahaja dalam kalangan warga ejen malah golongan muda yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Golongan muda masa kini ramai yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan di Takaful Ikhlas, kami sentiasa mengalu-alukan mereka untuk menjadi usahawan takaful,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Ruang Bicara’ terbitan Bernama TV di sini.

Beliau berkata ejen Takaful Ikhlas yang mencapai sasaran dapat menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan antaranya insentif pelancongan serta berpeluang memenangi hadiah wang tunai atau barangan dalam tahun kewangan tersebut.

Takaful Ikhlas menawarkan pelbagai produk menyeluruh bagi pelan takaful am, takaful keluarga dan takaful kumpulan serta penambahan rider-rider kepada produk asas untuk nilai perlindungan produk yang dibeli.

Setakat ini, Wan Rosli berkata empat orang ejen berjaya mendapat pengiktirafan ejen peringkat antarabangsa iaitu kalangan ejen terbaik dunia dalam industri melalui anugerah antarabangsa Million Dollar Round Table (MDRT).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Latiff Abu Bakar berkata Takaful Ikhlas turut tidak ketinggalan menggunakan perkembangan teknologi dengan memperkenalkan portal transaksi perniagaan, e-IKHLAS serta aplikasi i-SMART. – Bernama