Industri Tradisi Berpotensi Besar

Industri Tradisi Berpotensi Besar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Industri Tradisi Brunei mempunyai keistimewaan, daya tarikan serta keunikannya tersendiri yang boleh dimajukan dan dikembangkan sebagai salah satu industri yang berpotensi besar untuk diterajui masyarakat terutama golongan muda atau belia negara.

Industri Tradisi Brunei itu tidak hanya terhad kepada produk-produk kraf tangan atau budaya sahaja tetapi juga meliputi produk makanan unik masyarakat Brunei di mana produk-produk berkenaan mampu dimajukan supaya ia boleh terus dipertahankan sebagai khazanah tradisi negara.

Sehubungan dengan itu, Seminar dan Pameran Industri Tradisi Brunei merupakan sebuah acara yang dianjurkan bertepatan dengan kehendak semasa, jelas Pengerusi Seminar dan Pameran Tradisi Brunei, Awang Mohammad Ali Yusri bin Haji Amran semasa penutup seminar dan pameran berkenaan yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan untuk menyempurnakan penutup dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan ialah Pensyarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dayang Noralipah binti Haji Mohamed.

Dayang Noralipah ketika menyampaikan sijil penghargaan.
Dayang Noralipah ketika menyampaikan sijil penghargaan.
Dayang Noralipah dan para jemputan melihat lebih dekat produk-produk tradisi yang dipamerkan.
Dayang Noralipah dan para jemputan melihat lebih dekat produk-produk tradisi yang dipamerkan.

Menurut Awang Mohammad Ali Yusri lagi, seminar dan pameran itu dijalankan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 April di mana ia memberikan peluang dan pendedahan kepada para penuntut UBD untuk mengetahui tentang sumbangan Industri Tradisi Brunei serta pengalaman yang berguna bagi mereka.

Di samping itu, beliau berharap semua yang terlibat dalam pameran itu akan terus berusaha untuk sama-sama merealisasikan hasrat negara bagi terus membangunkan dan mencapai Wawasan Negara 2035.

Pada masa yang sama, para pengusaha yang terlibat dalam pameran dengan mempamerkan hasil produk-produk tradisi mereka, diseru untuk tidak berputus asa dalam memajukan lagi produk mereka di mana mereka memainkan peranan penting dalam sama-sama membantu meningkatkan serta memantapkan ekonomi negara menerusi perusahaan mereka itu.

Majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional dan bacaan gurindam serta syair oleh para penuntut UBD.

Dayang Noralipah seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para wakil penaja serta ahli-ahlil jawatankuasa Seminar dan Pameran Industri Tradisi Brunei 2016.

Seminar dan pameran melibatkan seramai 24 orang mahasiswa dan mahasiswi UBD dari pelbagai fakulti di mana ia bermatlamat untuk memberi kefahaman mengenai industri tradisi dalam konteks sosioekonomi masyarakat Brunei dan dalam yang sama membuat perbandingan industri tradisi Brunei dengan industri tradisi di rantau ini.

Sepanjang seminar dan pameran itu, mahasiswa dan mahasiswi berkenaan membentangkan, mempamerkan serta mengongsi hasil dapatan 24 produk Industri Tradisi Brunei dari hasil kajian mereka yang dijalankan pada awal Januari tahun ini di mana sebanyak 24 produk yang merangkumi produk dari industri makanan, kraf tangan dan ternakan.

Seminar dan pameran anjuran UBD melalui Akademi Pengajian Brunei (APB) menerusi Modul PB3303 itu membawa tema ‘Industri Tradisi Kitani Halal, Baik dan Berkat’.

ARTIKEL YANG SAMA