Infantino dibabitkan dalam ‘Panama Papers’

Infantino dibabitkan dalam ‘Panama Papers’

BERLIN, 6 April – Tandatangan Presiden baru FIFA Gianni Infantino telah muncul dalam apa yang dikenali sebagai ‘Panama Papers’ berkaitan jualan hak penyiaran TV yang dipersoalkan di Amerika Selatan, akhbar Jerman di sebalik kebocoran data besar-besaran melaporkan pada Selasa.

Peguam warga Switzerland keturunan Itali berusia 46 tahun itu, pada Februari lalu menggantikan Sepp Blatter sebagai ketua FIFA yang digantung selepas beberapa pegawai utama ditangkap tahun lepas, dan pemberian hak penganjuran Piala Dunia 2018 dan 2022 masing-masing kepada Rusia dan Qatar dipertikaikan banyak pihak.

Ketika berkhidmat sebagai ketua jabatan undang-undang UEFA, pada 2006 dan 2007 Infantino menandatangani kontrak penyiaran TV untuk Liga Juara-Juara dan kejohanan bola sepak yang lain bersama dua orang lelaki yang kini defendan dalam skandal FIFA, lapor Sueddeutsche Zeitung.

Tetapi Infantino menafikan sebarang salah laku dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Infantino telah muncul dalam ‘Panama Papers’ berkaitan jualan hak penyiaran TV di Amerika Selatan. - Reuters
Infantino telah muncul dalam ‘Panama Papers’ berkaitan jualan hak penyiaran TV di Amerika Selatan. – Reuters

“Saya terkejut dan tidak akan menerima bahawa integriti saya sedang diragui oleh kawasan-kawasan media tertentu, terutama sekali selepas UEFA mendedahkan secara terperinci semua fakta mengenai kontrak ini,” kata Infantino.

“Dari saat saya dimaklumkan mengenai pertanyaan terkini media mengenai perkara itu, saya terus menghubungi UEFA untuk mendapatkan penjelasan. Saya lakukan ini kerana saya tidak lagi bersama UEFA, dan merekalah yang mempunyai semua maklumat kontrak berkaitan pertanyaan ini.

“Dalam pada itu, UEFA mengumumkan telah menjalankan kajian semula kontrak komersial yang banyak dan telah menjawab semua soalan meluas media berkaitan dengan kontrak-kontrak tertentu.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak pernah secara peribadi berurusan dengan Cross Trading atau pemiliknya memandangkan proses tender telah dijalankan oleh pasukan pemasaran pihak UEFA,” jelas Infantino. – AFP