Infantino Presiden baru FIFA

Infantino Presiden baru FIFA

ZURICH, 28 Feb (AFP) – Gianni Infantino dipilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas menang majoriti mudah dalam pusingan kedua undian pada kongres luar biasa badan induk itu,malam kelmarin.

Setiausaha Agung Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu memperoleh 115 undian, mengatasi Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa, yang mendapat 88 undi.

Dua lagi calon, Putera Ali Al Hussein meraih empat undi, manakala Jerome Champagne, gagal mendapat sebarang undi.

Pengumuman keputusan itu dibuat Pemangku Presiden FIFA, Issa Hayatou. Pada pusingan pertama, Infantino gagal mendapat majoriti dua pertiga iaitu 138 yang diperlukan mengikut peraturan pemilihan selepas menerima 88 undian dari 207 negara anggota, sekali gus menyaksikan pemilihan terpaksa dilakukan sekali lagi.

Sheikh Salman Bahrain mendapat 85 undi, Putera Ali dari Jordan 27 undi, manakala Champagne dari Perancis tujuh undi. Terdahulu, sebelum pengundian bermula, seorang calon, Tokyo Sexwale, menarik diri daripada bertanding.

Presiden Gianni Infantino ketika hadir untuk sidang akhbar Kongres FIFA Luar Biasa di Zurich. Infantino dipilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas menang majoriti pusingan kedua undian pada kongres luar biasa badan induk itu, malam kelmarin.
Presiden Gianni Infantino ketika hadir untuk sidang akhbar Kongres FIFA Luar Biasa di Zurich. Infantino dipilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas menang majoriti pusingan kedua undian pada kongres luar biasa badan induk itu, malam kelmarin.

Sepp Blatter mengucapkan tahniah kepada Gianni Infantino selepas dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

“Saya mengucapkan tahniah dengan penuh ikhlas kepada Gianni atas pemilihannya,” kata Blatter dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP menerusi e-mel dari jurucakapnya.

Blatter digantung oleh FIFA pada Oktober lalu selepas pendakwa Switzerland mengumumkan beliau menjadi sasaran siasatan terhadap jenayah salah urus dan penyalahgunaan dana.

“Menerusi pelaksanaan program pembaharuan, harapan kepadanya akan menjadi lebih tinggi.”

“Tetapi saya yakin pengganti saya akan dapat melakukannya,” kata Blatter, yang kini menjalani penggantungan selama enam tahun.

“Dengan pengalaman dan kapasiti selain strategi dan diplomasi, dia mempunyai semua kualiti untuk menyambung kerja saya dan memacu ke arah kestabilan FIFA.

“Blatter turut berharap Infantino lebih bernasib baik dan menempa kejayaan. Dalam pada itu, Blatter diberitahu betapa dia perlu meninggalkan apartmen FIFA atau mula membayar sewa, kata sumber kepada AFP.

ARTIKEL YANG SAMA