Infantino sedih rayuan Platini gagal

Infantino sedih rayuan Platini gagal

MEXICO CITY, 10 Mei (AP) – Sekali pun mendapat jawatan tertinggi FIFA selepas Michel Platini dinafikan peluang bertanding, Gianni Infantino tetap menyuarakan rasa sedihnya berhubung kegagalan rayuan penggantungan bekas bosnya itu.

Platini sebelum ini menanam impian untuk menjadi presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), tetapi pemimpin UEFA itu dihalang daripada bertanding pada pemilihan Februari lalu apabila pembayaran 2 juta Swiss franc yang dilakukan Blatter kepadanya pada tahun 2011 didedahkan.

Sebaliknya, Infantino yang pada mulanya tidak diletakkan harapan kerana sekadar menjawat jawatan setiausaha agung UEFA dijadikan sebagai calon Eropah untuk menggantikan Sepp Blatter.

Infantino menerima khabar bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hanya mengurangkan penggantungan Platini kepada empat tahun berbanding enam ketika Bandaraya Mexico bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kongres pertamanya sebagai presiden FIFA.

Platini gagal dalam rayuan untuk mengurangkan penggantungannya daripada aktiviti bola sepak. – AFP
Platini gagal dalam rayuan untuk mengurangkan penggantungannya daripada aktiviti bola sepak. – AFP

“Jelas sekali sebagai presiden FIFA saya perlu menghormati keputusan CAS – tidak apa yang perlu diragui,” kata Infantino.

“Secara peribadi memang saya sedih dengan keputusan ini. Saya bekerja dengan Michel untuk sembilan tahun terakhir di UEFA sebagai setiausaha agung.”

Keputusan oleh CAS itu turut menyaksikan legenda Perancis berkenaan menerusi peguamnya semalam berkata akan meletak jawatan sebagai presiden UEFA.