Inflasi China meningkat

Inflasi China meningkat

BEIJING, 9 Dis – Kadar inflasi pengguna China meningkat pada November, data rasmi menunjukkan hari ini, sementara kemerosotan harga kilang berlarutan pada tahap rendah enam tahun tatkala ekonomi kedua terbesar dunia bergelut dengan pertumbuhan lembap.

Indeks harga pengguna (CPI), pengukur utama inflasi, naik 1.5 peratus pada bulan lalu berbanding setahun lalu, kata Biro Statistik Nasional (NBS) dalam satu kenyataan. Ia meningkat daripada 1.3 peratus pada Oktober dan melebihi ramalan pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus dalam tinjauan ke atas ahli ekonomi oleh Bloomberg.

Inflasi sederhana boleh mendorong penggunaan kerana ia mendesak pembeli bertindak sebelum harga naik, sementara harga merosot menggalak pembeli-belah supaya menangguhkan pembelian dan syarikat menangguhkan pelaburan, kedua-duanya boleh menjejas pertumbuhan.

Namun ahli ekonomi menjangka tekanan deflasi China meningkat pada tahun depan disebabkan permintaan domestik yang suram dan harga komoditi yang rendah.

Inflasi China tidak mungkin meningkat banyak pada jangka masa terdekat, kata ahli ekonomi ANZ dalam satu nota, “di sebalik kapasiti berlebihan, harga komoditi dan minyak merosot dan permintaan domestik lemah.”

Pelanggan memilih produk di sebuah pasar raya di Hangzhou, wilayah Zhejiang timur China pada 9 Disember. Kadar inflasi pengguna China meningkat pada November, menurut data rasmi kelmarin. – AFP
Pelanggan memilih produk di sebuah pasar raya di Hangzhou, wilayah Zhejiang timur China pada 9 Disember. Kadar inflasi pengguna China meningkat pada November, menurut data rasmi kelmarin. – AFP

Ekonomi China adalah penting kepada seluruh dunia dan pelabur berasa bimbang mengenai prospeknya.

Indeks harga pengeluar (PPI), yang mengukur harga barangan di kilang, merosot 5.9 peratus tahun-ke-tahun pada Oktober, menyamai angka untuk tiga bulan sebelumnya, yang melambang tahap rendah enam tahun.

Kapasiti berlebihan dalam pengeluaran telah menjejas pertumbuhan China dan kemerosotan dalam PPI tidak memberi petanda baik untuk prospek industri.

Inflasi pengguna telah mencecah atau berada di bawah 2.0 peratus sepanjang tahun 2015, di bawah sasaran pertambahan sebanyak “kira-kira tiga peratus” di Beijing untuk tahun itu, sementara kemerosotan dalam PPI, pengukur utama untuk CPI, merupakan kemerosotan bulanan ke-45 berturut-turut. – AFP