Inflasi China sederhana

Inflasi China sederhana

BEIJING, 10 Julai – Pertumbuhan harga pengguna China meleset pada Jun, kata Biro Statistik Nasional (NBS) hari ini, memberikan kerajaan pusat ruang untuk melaksanakan perangsang mata wang selanjutnya untuk menstabilkan pertumbuhan ekonomi.

Indeks harga pengguna (CPI) – pengukur utama inflasi – meningkat 1.9 peratus, kata Biro Statistik Nasional, lebih rendah daripada 2.0 peratus pada Mei tetapi lebih tinggi daripada ramalan 1.8 peratus dalam tinjauan ke atas ahli ekonomi oleh Bloomberg News.

Inflasi sederhana boleh merangsang penggunaan kerana ia mendorong pembeli bertindak sebelum harga naik, sementara harga merosot menggalak pembeli-belah menangguh pembelian dan syarikat menangguhkan pelaburan, yang boleh menjejaskan pertumbuhan.

Harga makanan merosot 1.4 peratus bulan-ke-bulan, menurut data yang ditunjukkan, menjejaskan angka inflasi pada keseluruhannya.

Ekonomi kedua terbesar du-nia berkembang pada tahun lalu pada kadar paling perlahannya dalam satu suku abad tatkala Beijing berusaha untuk melaksana satu peralihan sukar dalam model pertumbuhan yang tidak bergantung pada eksport dan pelaburan aset tetap kepada model yang berorientasikan pengguna.

Indeks harga pengeluar (PPI), yang mengukur kos barangan pada harga kilang, merosot 2.6 peratus pada bulan lalu, lebih rendah daripada kemerosotan sebanyak 2.8 peratus pada Mei, tatkala tekanan deflasi berkurangan disebabkan pemulihan dalam beberapa harga komoditi.

Kemerosotan dalam PPI memberikan petanda buruk kepada prospek industri, namun kemerosotan yang semakin terbatas dalam dua bulan lalu telah menambah harapan bahawa ekonomi China mungkin telah mencecah tahap paling rendah dalam kemelesetan.

Melihat ke depan, para penganalisis berkata banjir meluas disebabkan hujan lebat pada musim panas mungkin memberikan tekanan jangka pendek ke atas pengeluaran industri China.

Pembinaan mungkin meningkat sebaik sahaja banjir surut, tetapi dalam jangka pendek, pertumbuhan pengeluaran industri akan melihat ‘kejutan negatif,’ kata Zhang Yao daripada Nomura dalam satu nota.

Harga makanan mungkin naik disebabkan pemusnahan tanaman dan haiwan ternakan akibat banjir, kata Chang Liu daripada Capital Economics, sekali gus menambah risiko pertambahan dalam inflasi pengguna pada separuh tahun kedua. – AFP