Inflasi lemah, keyakinan perniagaan suram seret ekonomi Jepun

Inflasi lemah, keyakinan perniagaan suram seret ekonomi Jepun

TOKYO, 1 Julai (AFP) – Jepun hari ini mendapat dua tamparan hebat apabila data yang lemah dan laporan keyakinan perniagaan yang suram menekankan kelembapan telah menyeret kuasa ekonomi ketiga dunia itu.

Data yang lemah akan menimbunkan tekanan kepada pembuat dasar untuk memperkenalkan lebih banyak rangsangan selepas yen melonjak lagi di tengah kejutan undi Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah minggu lalu sehingga mengancam keuntungan Jepun Inc.

Data pada Jumaat menjelang pilihan raya parlimen minggu depan dilihat sebagai satu referendum mengenai rancangan Perdana Menteri Shinzo Abe bagi memulakan ekonomi goyah yang digelar Abenomik.

Perbelanjaan isi rumah di seluruh negara ini jatuh pada Mei manakala inflasi menurun untuk bulan ketiga berturut-turut, menurut data rasmi hari ini dalam satu tamparan baru kepada perang deflasi Abe.

Ada rentetan angka terbaru termasuk penurunan dalam pengeluaran kilang sebelum ini yang telah meningkatkan kebimbangan mengenai prospek Jepun.

Walaupun pasaran buruh kekal ketat pada Mei, kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi suku kedua semakin meningkat. Jepun berjaya mengelak kemelesetan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

“Angka hari ini menekankan kelemahan dalam perbelanjaan pengguna, mungkin untuk terus memberi tekanan kepada ekonomi Jepun,” kata Ketua Ekonomi di Dai-ichi Life Research Institute, Hideo Kumano.

Bank of Japan hari ini juga memerhatikan dari dekat kaji selidik Tankan yang menunjukkan keyakinan firma kecil dan bukan pengeluar bertambah buruk pada suku kedua tahun ini.

Sentimen antara pengeluar utama kekal pada tahap terendah sejak Abe memulakan programnya untuk merangsang pertumbuhan lebih daripada tiga tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA