Inflasi pengguna meningkat 1.6 peratus

Inflasi pengguna meningkat 1.6 peratus

BEIJING, 9 Ogos (AFP) – Inflasi pengguna di China meningkat kepada 1.6 peratus pada Julai,kata kerajaan hari ini, tatkala tekanan berkurangan ke atas harga membebaskan seterusnya ekonomi kedua terbesar di dunia.

Bacaan untuk indeks harga pengguna (CPI), pengukur utama inflasi yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Negara (NBS), adalah lebih tinggi daripada 1.4 peratus pada Jun.

Inflasi sederhana boleh menjadi rahmat kepada penggunaan tatkala ia mendesak pengguna supaya membeli sebelum harga naik, sementara harga merosot menggalak pembeli-belah menangguh pembelian dan syarikat membatalkan pelaburan, kedua-duanya boleh menjejas pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi yang lembap dan kemerosotan dalam harga komoditi telah membantu mengawal inflasi pengguna China dengan beberapa penganalisis menambah prospek akan berlakunya deflasi berdasarkan kelemahan dalam harga lain.

Indeks harga pengeluar – satu ukuran kos untuk barangan di kilang dan petunjuk utama trend untuk CPI – merosot 5.4 peratus pada Julai, kata NBS, berbanding dengan kemerosotan 4.8 peratus pada Jun, dan menandakan kemerosotan bulanan ke-41 berturut-turut.

Gambar fail menunjukkan seorang pemilik sebuah kedai asyik mengira wang yang diserahkan salah seorang pembeli di Beijing, China. – AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pemilik sebuah kedai asyik mengira wang yang diserahkan salah seorang pembeli di Beijing, China. – AFP

Angka CPI berbanding dengan anggaran sebanyak 1.5 peratus dalam satu tinjauan ahli ekonomi oleh Bloomberg News.

Pada Julai, harga makanan, biasanya penjana utama untuk inflasi China, meningkat 0.7 peratus, kata NBS.

Tinjauan itu mengumpul harga daripada lebih 63,000 kedai termasuk kedai runcit, pasar raya, gedung membeli-belah dan pasar perniagaan pertanian di seluruh 500 bandar dan daerah di negara, kata NBS.

CPI mencecah 0.8 peratus pada Januari, tahap paling rendahnya dalam lebih lima tahun – tetapi mencatatkan pemulihan semula kepada 1.5 peratus pada April.

Pertumbuhan ekonomi China mencecah tahap rendah 24-tahun pada tahun lalu, mengembang 7.4 peratus di tengah kemelesetan daripada perkembangan dua digit bertahun-tahun lamanya.

Pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menjadi perlahan pada tahun ini, berkembang 7.0 peratus dalam setiap dua suku pertama.

ARTIKEL YANG SAMA