Infrastruktur awam diutamakan

Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kementerian Pembangunan memang mengutamakan dan mengambil berat tentang keperluan penyediaan, penyelenggaran dan pemeliharaan jalan raya secara keseluruhan dengan mengambil kira impak kegunaannya yang produktif bagi merangsang aktiviti sosioekonomi di samping mengambil kira keselamatan dan keselesaan pengguna.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, perkara ini selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) kebangsaan iaitu Indeks Bandar Berdayahuni dan Mapan dan kualiti infrastruktur perhubungan seperti dalam kerangka Wawasan Brunei 2035 di bawah Matlamat 2 untuk taraf hidup yang tinggi dan bidang utama akses kepada kualiti tinggi utiliti dan infrastruktur awam.

“Seperti juga dengan negara-negara yang membangun di dunia ini yang mempunyai sistem jalan raya yang canggih, perlu ada sistem pengurusan bagi kerja-kerja pemuliharan jalan-jalan raya, termasuklah Negara Brunei Darussalam,” kata Yang Berhormat Dato ketika menjawab soalan Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon mengenai strategi Kementerian Pembangunan untuk memastikan melaksanakan projek-projek besar yang memerlukan perbelanjaan kecil dan tinggi termasuk pemuliharaan jalan-jalan raya.

Walau bagaimanapun, pemeliharaan aset-aset infrastruktur seperti rangkaian jalan raya yang semakin bertambah dan usang merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh negara-negara lain termasuk Negara Brunei Darussalam.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, aset-aset ini memerlukan program pengurusan pemeliharaan berterusan bagi memastikan kitaran jangka hayat agar ia tahan lama dan dapat terus berfungsi dan digunakan tanpa menjejaskan kesejahteraan dan keselesaan orang ramai.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi.

Program pengurusan dan pemeliharaan yang bersistematik sangat penting untuk diteruskan kerana jika program ini terjejas ia bukan saja akan mengakibatkan perbelanjaan yang tinggi untuk meneruskannya semula, malahan ia akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

“Kementerian Pembangunan sememangnya mempunyai strategi melalui pelbagai program pengurusan dan pemeliharaan jalan raya di seluruh negara sejak dulu lagi,” jelas Yang Berhormat Dato.

Antara program tersebut termasuklah program melapis semula aspal di rangkaian jalan raya di seluruh negara, menaik taraf jalan-jalan kecil atau jalan-jalan daerah, menaik taraf simpang-simpang jalan di seluruh negara, pemeliharaan serta menaikan taraf jambatan, membaikpulih rangkaian jalan raya sedia ada, pemeliharan rutin rangkaian jalan raya termasuk pembaikan jalan berlubang, pemotongan rumput dan pembersihan jalan raya.

Walaupun keadaan ekonomi sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak menjejaskan program tersebut, Kementerian Pembangunan akan terus berusaha untuk memastikan peruntukan bagi kerja-kerja pemeliharaan sebagai keutamaan dan akan mengkaji semula projek yang telah dilaksanakan sebelum ini terutama program pengurusan dan pemeliharaan jalan raya. Antara langkah-langkah yang telah diambil ialah dengan meneliti keutamaan bagi satu-satu projek yang lebih menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan bersama di samping meneliti kaedah yang sesuai untuk digunapakai dalam melaksanakan program tersebut.