Infrastruktur jalur lebar baharu hubung M’sia secara digital sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Pelaksanaan infrastruktur jalur lebar dan tanpa wayar yang baharu, apabila siap kelak, akan membolehkan Malaysia dihubungkan secara digital sepenuhnya dengan mempunyai akses meluas kepada ketersambungan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan ekonomi Malaysia semakin berkembang pada masa akan datang dan memastikan ia mencapai potensi penuh dalam memberi faedah ekonomi yang terhasil daripada akses sejagat kepada jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Manfaat ini telah terbukti di pasaran seluruh dunia yang termasuk pertumbuhan pesat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengambilan pekerja yang lebih tinggi, tahap pendidikan lebih baik, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan awam lain untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salleh berkata infrastruktur baharu itu dirancang secara strategik bagi menyampaikan matlamat kerajaan untuk memastikan perkhidmatan Internet jalur lebar tetap berkelajuan tinggi di seluruh negara secara ‘Dua Kali Kelajuan dan Separuh Harga’, yang menjadi dasar kerajaan susulan pengumuman Pelan Fiber Seluruh Negara pada Mac tahun ini.

“Kerajaan positif bahawa ia merupakan kepentingan strategik dan nasional bagi objektif ini, dengan urusan Perkongsian Awam Swasta (PPP) akan menjadi mekanisme terbaik untuk merealisasikan aspirasi kerajaan Malaysia bagi perluasan pembangunan Ekonomi Digital Malaysia.

“Ini akan menyokong inisia-tif lain kerajaan seperti Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia, yang dibuka dengan kerjasama Alibaba Group China baru-baru ini.

“Urusan perkongsian PPP ini juga disasarkan untuk mengecilkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar di Malaysia selain meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar dalam ekonomi digital seperti yang berlaku di penempatan Felda,” katanya. – Bernama