Infrastruktur pendidikan di Sarawak akan dinaik taraf

Infrastruktur pendidikan di Sarawak akan dinaik taraf

SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) – Kementerian Pendidikan akan memastikan infrastruktur sekolah yang perlu dinaik taraf di Sarawak akan dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata pihak kementerian akan mengambil tindakan bagi setiap janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 ditunaikan.

“Sama ada (dijanjikan) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mahupun Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri.

“Kita akan mengambil tindakan bagi setiap janji yang telah dibuat semasa kempen pilihan raya negeri itu untuk pastikan sistem pendidikan dan keperluan infrastruktur dapat dinaik taraf untuk sekolah-sekolah di sana,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan besar BN pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 semalam yang menyaksikan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Manifesto BN Sarawak bertemakan ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan #theAdenanWay’ yang menggariskan 15 fokus utama berpaksikan rakyat serta menjaga kepentingan negeri, antaranya memajukan pendidikan dan latihan teknikal.

Dalam pada itu, Kamalanathan menyifatkan kemenangan BN Sarawak menjadi tamparan hebat buat pembangkang yang selama ini hanya menabur pelbagai janji sedangkan tidak dikotakan.

“Bukan itu sahaja bahkan mereka (pembangkang) cuba memecahbelahkan rakyat Sarawak dengan isu yang tidak ada kena mengena dengan masa hadapan (rakyat Sarawak) dan kehidupan mereka.

Beliau juga berkata kesinambungan dan kerjasama yang ada antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan telah diberi pengiktirafan secukupnya oleh rakyat Sarawak melalui kemenangan besar pada pilihan raya negeri itu.