Iniesta: La Roja terima padah

Iniesta: La Roja terima padah

PARIS, 28 Jun (AFP) – Pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta mengakui bahawa mereka menerima padah atas persembahan buruk pada babak pertama yang menyaksikan mereka tersingkir daripada EURO 2016.

Bintang sensasi Barcelona itu, berkata kekalahan di tangan Itali adalah sesuatu yang sukar diterima. “Tidak banyak yang boleh diperkatakan. Mereka tidak mensia-siakan peluang dan beraksi lebih baik berbanding kami,” kata Iniesta kepada stesen televisyen Sepanyol, Telecinco.

Itali menundukkan La Roja dengan keputusan 2-0 di Stade de France menerusi jaringan pembukaan oleh Giorgio Chiellini sebelum Graziano Pelle mengesahkan kemenangan menerusi gol kedua pada minit akhir perlawanan.

Andres Iniesta berdepan dengan pemain pertahanan Itali Giorgio Chiellini dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Euro 2016. - AFP
Andres Iniesta berdepan dengan pemain pertahanan Itali Giorgio Chiellini dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Euro 2016. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Saya merasakan kami menunggu terlalu lama untuk melihat kemampuan mereka dan ini menjadi punca kami dihukum. Itu kesilapan yang kami lakukan pada babak pertama. Babak kedua begitu berbeza dan kami berjaya beraksi seperti biasa,” katanya.

Sepanyol memulakan kempen EURO 2016 mereka dengan bergaya apabila menundukkan Republik Czech dan Turki namun tewas 2-1 di tangan Croatia menyebabkan mereka sekadar menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara dan terpaksa bertemu Itali pada pusingan kalah mati.

“Sukar melihat kekalahan sebegini kerana kami beraksi dengan baik namun kami perlu menerima keputusan ini dan memandang ke hadapan,” kata Iniesta.

ARTIKEL YANG SAMA