Inisiatif baru

Inisiatif baru

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan kawasan sekitar benar-benar ceria dan penuh warna-warni apabila Program Bandarku Ceria dilancarkan, pagi tadi.

Pelbagai aktiviti anjuran agensi kerajaan turut disertai segenap lapisan masyarakat sebagai menyahut seruan inisiatif untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, membuka peluang kepada peniaga kecil-kecilan (SME), mengurangkan carbon footprint dan menggalakkan cara hidup yang sihat.

Program Bandarku Ceria merupakan hari tanpa kereta yang diadakan setiap Ahad, bermula hari ini di mana jalan raya ditutup bagi lalu lintas bermula dari jam 6 hingga10 pagi.

Jalan-jalan yang ditutup selama empat jam setiap Ahad ialah Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Stoney, Jalan Masjid Omar Ali Saifuddien, Jalan Mc Arthur, Jalan James Pearce, Jalan Pemancha, Jalan Elizabeth II dan Jalan Pretty.

Bagi menjayakan program ini orang ramai dialu-alukan untuk berbasikal dan menyertai aktiviti berlari bermula dari Jalan Perdana Mentiri, melintas Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan menuju ke Jalan Tasek hingga ke ibu negara, di mana pihak polis mengawal lalu lintas. Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Health Promotion Centre (HPC) di bawah Kementerian Kesihatan yang menganjurkan senamrobik, Kementerian Perhubungan yang menganjurkan Kids & Youth Corner, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menganjurkan ‘Come & Explore BSB’ dan Kementerian Kesihatan pula menganjurkan Walkathon.

Menteri Pendidikan melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal sempena Program Bandarku Ceria. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Menteri Pendidikan melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal sempena Program Bandarku Ceria. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Gerai-gerai jualan yang turut memeriahkan acara berkenaan.
Gerai-gerai jualan yang turut memeriahkan acara berkenaan.

Pada Pameran Kids & Youth Corner, terdapat juga bahan-bahan paparan seperti ‘Hot Wheels’, lukisan, penyewaan basikal, Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan ‘Artistic Corner’, ‘Youth Corner’ dan Pameran ‘Landscaping’.

Salah seorang peserta terlibat dalam aktiviti Program Bandarku Ceria, Awang Shahraime bin Haji Emran ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan inisiatif pihak kerajaan ini benar-benar bagus di mana orang ramai boleh merasakan kesegaran udara dan jauh daripada kesibukan jalan raya.

“Program ini juga memberikan keluarga peluang membawa anak-anak mereka bersiar-siar di sekitar ibu negara dengan tenang kerana lalu lintas sifar kereta,” jelas beliau.

Bagi menceriakan lagi suasana pada masa akan datang, Awang Shahraime memberikan pendapat agar ada dimainkan lagu-lagu musik tradisional bagi menceriakan lagi suasana.

Awang Shahraime juga merasakan Program Bandarku Ceria ini pasti mendapat sambutan lebih menggalakkan minggu depan kerana hari ini orang tempatan banyak pergi ke luar negara selepas menerims gaji.

Berbasikal di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Berbasikal di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Antara akitiviti dan pameran yang diadakan sempena Program Bandarku Ceria. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Antara akitiviti dan pameran yang diadakan sempena Program Bandarku Ceria. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

“Saya rasa dan juga berharap, pada minggu depan lebih ramai lagi datang memeriahkan Bandarku Ceria. Datanglah beramai-ramai kerana ini adalah sesuatu yang bermanfaat bagi semua lapisan masyarakat,” saran Awang Shahraime kepada orang ramai.

Awang Khairul bin Saifudin pula ketika ditemui berasa sangat teruja dan berharap untuk dapat membawa rakan-rakannya pada minggu hadapan.

“Ini merupakan sesuatu yang baru dan sesuatu yang sangat bermanfaat juga terutama bagi golongan yang aktif dalam larian dan berbasikal,” tambah beliau lagi.

Orang awam dialu-alukan untuk melibatkan diri dan menyokong inisiatif baru demi kesejahteraan setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara ke arah mencapai kehidupan berkualiti selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Maklumat lanjut mengenai Bandarku Ceria boleh didapati secara online dengan melayari laman-laman media sosial di Facebook ‘bandarkuceria’, Twitter@bandarkuceria dan Instagram@bandarkuceria.

Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Darussalam 123 setiap masa (24 jam) untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai program ini.

ARTIKEL YANG SAMA