Inisiatif basmi kemiskinan

Inisiatif basmi kemiskinan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) melalui Unit Sukarelawan Yayasan terus meneroka projek dan program-program kesukarelawan yang baru bagi membantu masyarakat yang memerlukan terutamanya program-program yang menjurus kepada pembasmian kemiskinan.

Dengan adanya inisiatif-inisiatif daripada Yayasan, ia dipercayai mampu menjadi galakan secara langsung daripada pihak swasta kepada pergerakan sukarelawan di Brunei bagi membantu masyarakat melalui pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, alam sekitar, keagamaan dan keusahawanan.

Ini dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan dalam ucapannya pada Majlis Penghargaan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Sukarelawan Yayasan, hari ini.

Dato Paduka Dr Haji Affendy berkata, kegiatan kesukarelawan merupakan kegiatan berkebajikan yang mampu melahirkan masyarakat khususnya belia Brunei yang pemedulian yang memiliki nilai-nilai murni, bertanggungjawab, berdikari, patriotik, kreatif, inovatif dan peka kepada keadaan di sekeliling mengenai isu-isu semasa.

“Ini menjadikan mereka sebagai aset negara yang menjadi penggerak transformasi kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara.”

Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau berkata bahawa Unit Sukarelawan Yayasan dari tahun ke tahun semakin berkembang dan berjaya menarik minat masyarakat di negara ini terutama para belia untuk sama-sama menghulurkan bantuan serta menyumbang khidmat tenaga, buah fikiran serta kepakaran mereka membantu Yayasan melaksanakan Projek Amal Kebajikan memeduli masyarakat terutama golongan yang memerlukan bantuan.

Dato Paduka Dr Haji Affendy turut berkata, pada masa ini, jumlah ahli kesukarelawan sudah mencapai lebih 1,700 orang ahli yang mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman dari setiap daerah, yang sentiasa bersedia menyumbang khidmat tenaga mereka pada bila-bila masa diperlukan dan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Beliau turut menyatakan bahawa Yayasan akan terus mempelbagaikan projek kebajikan dan kegiatan kemasyarakatan di negara ini bagi memberi ruang dan menggalakkan para sukarelawan untuk mengongsi kemahiran dan kepakaran mereka membantu masyarakat yang memerlukan dan sekali gus memberikan peluang untuk berinovatif dan kreatif.

“Dalam pada itu, beberapa aktiviti yang berbentuk pendidikan dalam meningkatkan pengetahuan seperti seminar, kursus motivasi, kursus pengurusan dan kepimpinan juga diadakan sebagai persiapan menghadapi permasalahan semasa menjalankan kerja-kerja bantuan.”

Dato Paduka Haji Mohd Roselan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima bagi projek PAWEK.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima bagi projek PAWEK.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan dan Dato Paduka Dr Haji Affendy yang menghadiri majlis berkenaan.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan dan Dato Paduka Dr Haji Affendy yang menghadiri majlis berkenaan.

Dato Paduka Dr Haji Affendy turut mengongsi mengenai projek-projek bantuan masyarakat yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama ahli sukarelawan dan rakan-rakan strategik termasuk Program Intervensi Pendidikan (PIP), Projek Bantuan untuk Meningkatkan Sosioekonomi ke arah Membasmi Kemiskinan (PBSE), Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga yang Memerlukan Bantuan (PAWEK) dan Projek Bantuan Kecemasan dan Kemasyarakatan (PBKK).

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja dan ahli-ahli sukarelawan Yayasan yang diraikan di mana bagi PIP, sijil penghargaan kepada para penerima disampaikan oleh Dato Paduka Dr Haji Affendy, bagi PBSE disampaikan oleh Haji Mohammad Hanafi, bagi PAWEK disampaikan oleh Dato Paduka Haji Mohd Roselan dan bagi PBKK disampaikan oleh Haji Brahim.

Majlis penghargaan itu bermatlamat bagi menghargai khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja dan ahli-ahli Sukarelawan Yayasan dalam menjayakan projek-projek dan kegiatan Sukarelawan Yayasan sejak 2011. Unit Sukarelawan Yayasan yang ditubuhkan pada 8 Januari 2005, merupakan satu platform untuk membolehkan sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat menjadi sukarelawan Yayasan untuk tampil ke hadapan menyalurkan sumbangan khidmat bakti mereka dalam mengendalikan kegiatan-kegiatan kebajikan terutamanya dalam perkhidmatan masyarakat.

Melalui kaedah itu, para sukarelawan dapat bekerjasama dengan Yayasan dalam memberikan pelbagai bentuk sumbangan kepada masyarakat sama ada daripada segi kepakaran, tenaga dan kewangan bagi sama-sama menjayakan projek serta kegiatan Yayasan secara meluas, berkesan dan sistematik.

ARTIKEL YANG SAMA