Inisiatif dan pendekatan PBSM dialu-alukan

Inisiatif dan pendekatan PBSM dialu-alukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Kementerian Kesihatan amat mengalu-alukan inisiatif dan pendekatan yang diambil oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kebangsaan dalam membincangkan mengenai Kertas Putih Pelan Tindakan PBSM Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam yang menumpukan kepada strategi, matlamat dan hala tuju strategik persatuan berkenaan.

“Pihak Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan inisiatif ini terutama sekali dalam keadaan negara yang menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan pelbagai cabaran kesihatan termasuk peningkatan jumlah kes penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs) serta penyakit-penyakit berjangkit yang baru dan juga yang lama.”

Oleh itu, kerjasama yang erat di antara Kementerian Kesihatan dan PBSM Kebangsaan amat diperlukan dalam sama-sama memikul tanggungjawab dan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya untuk menjaga kesihatan serta menekankan bahawa kesihatan merupakan peranan semua.

Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PBSM Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam ke-6, hari ini.

Dr. Hajah Maslina menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan amat menghargai dan mengalu-alukan inisiatif Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan dalam bersama-sama berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya untuk menjaga kesihatan serta menekankan bahawa kesihatan adalah peranan semua.
Dr. Hajah Maslina menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan amat menghargai dan mengalu-alukan inisiatif Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan dalam bersama-sama berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya untuk menjaga kesihatan serta menekankan bahawa kesihatan adalah peranan semua.

Usaha dan khidmat bakti yang dihulurkan oleh PBSM Kebangsaan amat dihargai oleh pihak Kementerian Kesihatan, jelas beliau lagi yang hadir selaku wakil peribadi Menteri Kesihatan pada majlis yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Kementerian Kesihatan, ulas Dr. Hajah Maslina, amat menghargai kerjasama padu daripada persatuan berkenaan dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan awam serta juga mendukung ke arah mempromosi serta menyerapkan cara hidup sihat kepada meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan penduduk negara serta merealisasikan visi Kementerian Kesihatan 2035 iaitu Bersama Ke Arah Warga Sihat.

Beliau turut menyatakan harapan kementeriannya supaya persatuan itu akan lebih aktif dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan dalam menghulurkan khidmat bakti dan bantuan kepada mereka yang memerlukan secara sukarela.

Di samping itu, Dr. Hajah Maslina juga melahirkan keyakinan bahawa usaha itu dapat menyerapkan ke dalam diri ahli-ahli persatuan sikap dan keperibadian untuk menjadi masyarakat yang penuh bertanggungjawab, berdisiplin, berintegriti, pemedulian dan prihatin pada negara dan masyarakat serta mendukung kepada pencapaian matlamat Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA